Bismillahirahmanirahim ,
Alhamdulillah , untuk entri kali ini pula , kami akan menceritakan tentang "Tahap Kelainan Antara Cereka, Budaya Tinggi, Budaya Popular dan Budaya Picisan"
Tahap
sesebuah karya sastera dapat dilihat dari pelbagai perspektif. Dari segi
penilaian terhadap karya, terdapat pelbagai arasnya yang bergantung pada karya,
penilai dan pengarangnya. Terdapat tiga tahap atau kategori yang mudah kita
fahami dalam penilaian terhadap sesebuah karya iaitu fiksyen budaya tinggi,
fiksyen budaya popular, dan fiksyen budaya picisan. Ketiga-tiga tahap ini
mempunyai elemen-elemen yang sama seperti ada tema dan plot, ada cerita dan
perwatakannya, ada sudut pandangan, latar dan sebagainya. Kelainan antara
ketiga-tiga kategori itu terletak pada kaedah dan matlamat penceritaannya,
peranan atau fungsi elemen-elemen fiksyen itu sendiri.
Matlamat
fiksyen popular adalah lebih kepada hiburan bercorak sederhana yang hanya
sekadar menuntut daya penerimaan dari indera tahap selapis sahaja. Selain itu,
matlamat fiksyen popular juga menuntut renungan tetapi renungan yang hanya
berkisar pada lapisan selapis dan tidak sukar memahami maknanya kerana makna
cerita yang dibawa oleh watak memang mudah difahami. Kemudahan tahap kefahaman
dipentingkan dalam karya fiksyen popular ini. Karya popular memang baik tetapi
mutu kebaikannya hanya pada tahap popular itu sahaja.
Matlamat fiksyen budaya tinggi berbeza
dengan matlamat fiksyen popular kerana fiksyen kategori ini mempunyai adunan
cerita yang lebih kompleks. Kadang-kadang pergaulan elemen fiksyen dalam
komposisi tidak berurutan dan paradoks sifatnya kerana kaedah seumpama itu amat
bersesuaian dengan tahap kemanusiaan yang menjadi titik persoalannya. Matlamat
kategori ini lebih kepada penerokaan rimba raya. Sebagai contoh novel Heart of Darkness, karangan Joseph
Conrad yang mengisahkan pengembaraan masuk ke dalam hutan belantara di Afrika
yang gelap dan penuh rahsia. Sehinggakan pada satu tahap novel Conrad ini dapat
dikatakan popular sifatnya tetapi pada tahap yang lain ia novel yang berbudaya
tinggi.
Kelainan seterusnya ialah kelainan
bagi kategori karya budaya picisan. Karya ini bermatlamatkan hiburan tetapi
hiburan jenis gugahan nafsu yang mudah diganggugugatkan. Karya jenis ini
dicipta untuk penggiur nafsu amarah. Perhitungannya cuma bersifat komersial
dengan kaedah mendedahkan babak erotik dan lucah yang mudah memancing manusia
yang tidak diajar membezakan yang baik dari yang tidak baik atau antara yang
benar dengan batil. Karya ini juga menyentuh persoalan aspek seks semata. Sebagai
contoh novel Salina karya A.Samad
Said dicap sebagai novel lucah tetapi hakikatnya novel ini mempunyai budaya
tinggi. Begitu juga dengan novel Alberto Moravia, The Woman of Rome.
No comments:
Post a Comment