Thursday, 19 November 2015

BAB 9 : PROSES KREATIF : KESEGALAANNYA BERPUSATKAN INSAN

Assalammualaikum dan salam sejahtera , pada kali ini kami akan berkongsi tentang entri yang berkaitan dengan insan dalam menghasilkan karya serta sebagai pembaca.



           Proses kreatif merupakan sesuatu tindakan yang berlaku terhadap seseorang individu sama ada secara sedar atau pun tidak sedar. Segala ciptaan karya sastera yang terdiri daripada pelbagai genre atau keperihalan merupakan anugerah Tuhan kepada insan. Insan merupakan pihak yang bertanggungjawab atas segala tingkah laku yang dicipta olehnya sendiri. Pencipta , insan dan pembaca merupakan kategori insan yang berperanan terhadap sesebuah karya sastera. Insan merupakan pihak yang keperihalannya dijadikan bahan ciptaan manakala pembaca ialah pihak yang akan menilai hasil ciptaan yang ditulis. Insan tidak akan terlepas daripada landasan pokok iaitu segala keperihalannya sebagai pengarang , bahan pengarang dan pembaca yang akan menilai sendiri hasil pengarang tersebut. Pengarang haruslah menyedari hakikat bahawa mereka ialah hamba Allah.

            Proses kreatif haruslah bermula daripada kefahaman dan keyakinan tentang hakikat insan yang terdiri daripada aspek pengertian , kejadian , kedudukan , kesucian , martabat dan sebagainya. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak memberi keinsafan kepada pengarang supaya mereka sentiasa bertanggungjawab terhadap karya ciptaan. Selain itu ,  sasterawan yang pemikir akan menyediakan matlamat berkarya , bahan berkarya dan jenis karya yang akan disedekahkan kepada pembaca. Sasterawan haruslah memahami hubungan antaranya dengan Allah seperti mana perjanjiannya dengan Allah sewaktu dalam roh iaitu pengakuan bahawa Allah adalah Tuhannya. Sasterawan juga diingatkan supaya membersihkan diri dengan amalan yang diwajibkan serta menjauhkan diri daripada bergelumang dengan kekotoran kerana dikhuatiri dia akan menghasilkan karya yang tidak bertanggungjawab. Dalam erti kata lain , sasterawan perlu melahirkan akhlak  yang mulia dan mencorakkan karya sastera dan bukan sebaliknya.

            Setelah melalui beberapa proses mengenal diri sendiri dan memperolehi pengalaman , pengarang kebiasaannya akan menerima ilham yang menjadi dasar pengolahan karyanya. Sesuatu dasar boleh diperbaiki melalui perwatakan yang memperlihatkan keinsafan serta mempunyai beberapa perkembangan watak melalui pelbagai plot penceritaan. Komunikasi sesuatu watak boleh wujud melalui dua dimensi, merangkumi tiga entiti yang saling berinteraksi iaitu dirinya , alamnya dan Tuhannya. Selain itu , pengarang yang baik akan membangunkan tiga kesan pokok dalam sasteranya iaitu kesan kewiraan , kesan tarbiyah dan kesan mistik manakala pengarang yang tidak mengenal dirinya sebagai insan akan mewujudkan kesan-kesan martabat rendah.

          Seterusnya ialah mengenai karya sastera yang mana keperihalan sastera merupakan dasar kesusasteraan serta merujuk kepada insan yang berbahasa , berfalsafah , berlatar dan juga berplot. Jika sesuatu karya semakin jauh mengembara ke dalam lubuk keinsanan melalui sastera , semakin sulit bagi pembaca menemui makna saranan. Aspek-aspek yang dieksploitkan oleh pengarang dalam proses kreatifnya ialah aspek insan bermasalah , aspek insan berkomunikasi , aspek mimpi insan , aspek insan yang berfuturistik dan aspek ketidakwarasan insan. Sekiranya berlaku kehakisan asosiasi dalam sesuatu penceritaan maka terhakislah segala makna dalaman keinsanan dalam hubungan dengan alam . Apabila sesuatu proses kreatif melahirkan cereka yang besar dan latar kadang kala diperlukan bagi mengaitkannya dengan kehidupan insan yang diolah melalui seni.

Selain itu , saluran sastera adalah bahasa dan merupakan insan berbahasa. Meskipun aspek mengenai sastera dilupakan oleh banyak pengarang tetapi masih terdapat semacam aliran yang berusaha untuk memartabatkan bahasa sebagai makna kesusasteraan selengkapnya. Kepekaan , naluri dan pengalaman sasterawan berkaitan dengan insan akan menambahkan lagi kejernihan segala keperihalan sebagai bahan proses kreatif. Namun begitu , sasterawan mengalami tekanan akibat daripada tindakan-tindakan insan yang bertentangan dengan sifat ketuhanan.Sebagai contoh , tekanan yang wujud dalam ilham novel  Patriarch dan tekanan ini mencabar sensitiviti walaupun novel ini belum wujud secara fizikalnya tetapi telah lama memperlihatkan bentuk “di dalam”.
 

Patriarch mendukung makna ketua atau kepala keluarga tetapi jika mengikut asosiasinya lebih menyarankan makna pemimpin negara. Novel ini lebih merujuk kepada pergolakan politik tanah air yang bermula semenjak pencapaian kemerdekaan hingga sekarang. Pelbagai perkara yang berlaku hingga menyebabkan Patriarch mati akibat serangan jantung susulan daripada rakyat patriotik yang mendoakan kematiannya. Perkembangan cerita ini diproses secara tersirat dan tiada kesatuan dalam komposisi serta terasa jalinan kisah yang terpisah-pisah. Tambahan pula, menurut novel tersebut , jika kepimpinan lebih kepada kegilaan pada kuasa , kemasyuran dan kemewahan , maka akan menyebabkan tekanan serta keradangan rakyat jelata.

            Seterusnya adalah berkaitan dengan kedudukan karya (teks) dalam hubungannya dengan insan pembaca yang bertolak daripada hubungan antara insan sastera dengan insan pembaca. Hubungan ini dijalinkan oleh teks dan segala keperihalannya. Membaca dan memahami teks adalah proses memasuki dan meneroka pengalaman insan , menganalisis dan menilai segala keperihalannya. Teks adalah pengalaman insan yang diproses oleh sasterawan dengan penuh tanggungjawab , penuh dengan saranan dan cabaran untuk dialami dan difahami oleh pembaca. Pembaca juga perlu melalui proses kreatifnya yang tersediri melalui tindakan menganalisis saranan yang diperlihatkan oleh sasterawan melalui perwatakannya. Sasterawan mendapat pengalaman berasaskan renungan , analisis dan penilaian pembaca.

            Kesimpulannya , sekiranya sasterawan yangmengenal diri mereka sebagai insan atau hamba Allah , maka mereka akan menghasilkan karya yang bermutu ditambah pula dengan pengalaman dalam hidup dan hasil pembacaan. Perkara yang sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka tidak menghargai diri mereka dan karya yang tidak bermanfaat akan dibaca oleh pembaca. Sehubungan itu , sasterawan perlu mengambil kira tentang insan , pembaca serta bahan yang mereka akan gunakan untuk menghasilkan karya.
 
 

1 comment:

  1. apakah maksud sinemaskopik...boleh bagi penerangan yang lebih lanjut

    ReplyDelete