Thursday, 19 November 2015

BAB 6 : APRESIASI KARYA SASTERA


Bismillahirahmanirahim , pada kali ini , kami akan membincangkan tentang topik Apresiasi Karya Sastera.
         Kebimbangan dalam aspek apresiasi karya sastera. Kebimbangan itu wujud kerana didapati terdapat sebilangan pembaca yang menjadi pembaca pasif. Pembacaan pasif ini akan menyebabkan apa yang tersirat dan teradun dalam sesebuah karya itu, tidak dapat ditangkap oleh pembaca. Pembaca tidak memahami persoalan yang ditulis dalam karya kerana mereka hanya membaca di sudut permukaan sahaja. Makna-makna yang tersirat juga dalam penulisan gagal untuk difahami dan disaring oleh pembaca. Kesannya, pembaca akan dibentuk dengan kefahaman yang sempit sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan yang mendalam terhadap pembacaan itu.

        Tujuan utama penciptaan karya sastera adalah untuk membawa pembaca mendalami dan memahami pengalaman dari pelbagai aspek. Oleh itu, apresiasi karya adalah proses  kreatif. Makanya, apabila karya itu mengalami proses yang kreatif, pembaca juga seharusnya bertindak kreatif bukannya pasif. Pembaca juga perlu mengetahui perkara atau matlamat yang hendak dicarinya di dalam pembacaan sesuatu karya dengan menggunakan kaedah utama iaiu kaedah menyelak lapisan makna dalam pembacaan tersebut. Jika tidak, pembaca kurang mendapat kepuasan terhadap karya yang dibacanya.

       Rahsia utama untuk melalui proses apresiasi karya sastera dengan jayanya ialah memahami  terlebih dahulu bagaimana pengarang memanipulasikan unsur penceritaannya dan sejauh mana pengarang cuba menariks ikap dan respon pembaca daripada segala drama dan makna pengalaman manusia dicipta.

       Terdapat dua jenis pembaca yang hendak mengapresiasikan karya sastera. Pertama ialah pembaca yang biasa yang berminat untuk memahami pengalaman manusia yang dihidangkan dengan harapan pengalaman tersebut menjadi pengalamannya pula. Pembaca kategori ini, dikatakan sebagai pembaca pasif. Dia membiarkan pengalaman yang dibacanya masuk ke dalam pemikirannya dan kemudian membenarkan keluar dengan meninggalkan sedikit sisanya untuk menambah pengalaman sedia ada.

       Jenis yang kedua ialah pembaca aktif dalam pendekatan pembacaannya. Mereka lebih serius dalam pembacaan dan sering digolongkan kepada golongan pengkritik. Pembacaannya lebih patuh kepada disiplin yang diyakininya. Kesan mereka lebih bercorak perasaan dan penerimaan yang tersusun dan padar dengan sebab dan akibat yang juga diyakini melalaui pegangan atau teori yang dipatuhi.

       Kesimpulannya, apresiasi karya sastera sangat penting. Ini kerana berbalik kepada tujuan asal penciptaan karya sastera yang mana membolehkan pembaca memahami pengalaman manusia dalam segala keperihalan melalui kaedah yang menuntut kehalusan daya persepsi, baik melalui emosi, imaginasi, realiti dan sebagainya. Jadilah pembaca kreatif dan aktif bukannya pembaca yang pasif.

 

No comments:

Post a Comment