Bismillahirrahmanirrahim…
Entri kali ini
membicarakan dan menghuraikan bab kedua dalam buku "Pengalaman Ilmu
Imaginasi dan Kitarannya” oleh SN Dato' Haji Shahnon Ahmad, yang bertajuk “Apa
Lagi Kalau Bukan Keperihalan Kemanusiaan”.
Dalam
bab ini, Dato’ Shahnon Ahmad telah menghuraikan dengan jelas hubung kait antara
penulisan dengan diri manusia terutamanya penulis itu sendiri. Beliau
menyatakan bahawa diri manusia bermula dengan suatu keadaan yang sama untuk semua
orang, iaitu secara sederhana. Kemudian keadaan tersebut mula berkembang selari
dengan peredaran masa, menyebabkan pelbagai cabaran dan masalah yang perlu
ditempuhi yang akhirnya terjerumus dalam keadaan keserabutan. Begitu juga dalam
penulisan sesuatu karya, bermula dalam keadaan mendatar, kemudiannya berkembang
dengan pelbagai konflik. Dikatakan bahawa semakin berkecamuk dengan konflik
sehingga wujud unsur kesamaran atau keadaan yang tidak jelas, semakin unik
sesuatu karya sastera tersebut. Masalah itu juga merupakan titik tolak bagi
penulisan karya. Masalah tersebut kemudiannya boleh dileraikan dengan pelbagai
cara. Kebolehan penulis untuk memilih peleraian yang baik boleh menyebabkan
karya itu bertambah menarik.
Dalam
menghuraikan tentang keperihalan manusia, wujud unsur pertentangan.
Pertentangan biasanya wujud disebabkan percanggahan nilai disebabkan pengaruh
asing. Boleh jadi pertentangan antara nilai buruk dengan nilai baik dan nilai
yang setara iaitu sama ada nilai baik dengan nilai baik atau nilai buruk dengan
nilai buruk. Pertentangan nilai yang berbeza adalah lebih menarik untuk
dileraikan. Pertentangan atau disebut juga sebagai konflik adalah premis yang
utama yang perlu dieksploitasi oleh pengarang untuk menghasilkan karya yang
bermutu tinggi. Untuk mengeksploitasinya, pengarang perlu wujudkan pertentangan
nilai dalam diri yang akhirnya mencetuskan kreativiti secara tidak langsung
dalam karyanya. Pertentangan yang menunjukkan permasalahan manusia ini mampu
menghidupkan sesuatu karya jika diolah dengan baik.
Selain
itu, unsur komunikasi juga perlu wujud dalam keperihalan manusia. Melalui unsur
ini, pengarang perlu bijak melahirkan dialog dan monolog yang berfungsi selaras
dengan perwatakan dan ciri-ciri lain. Kadang kala, ketidakjelasan dalam sesuatu
karya menambah menarik karya tersebut.
Dalam konteks ini, komunikasi yang cuba diwujudkan adalah secara samar,
iaitu komunikasi hanya difahami apabila tiba di pengakhiran penulisan. Di
samping itu, selain komunikasi, unsur penting lain adalah perubahan. Perubahan
yang ditekankan adalah perubahan bagi watak yang ditonjolkan dalam sesuatu
karya. Perwatakan boleh berubah daripada awal cerita hingga akhir cerita untuk
menambah seri pada karya tersebut. Usia adalah antara salah satu perkara yang boleh
menunjukkan perubahan bagi watak yang dimainkan. Hal yang demikian kerana usia
mampu mencorakkan perwatakan baik dari aspek tindakan fizikal, tindakan minda,
mahupun tindakan hati. Pertentangan yang terjadi antara usia dengan tindakan
watak juga akan memberi kesan dalam perkembangan karya.
Satu
lagi unsur yang tidak boleh dilupakan adalah latar, sama ada latar tempat atau
latar masa. Latar mampu memaknakan
manusia dalam pengertian yang sebenar, kerana latar sangat mempengaruhi
kehidupan manusia. Oleh itu, latar perlu berfungsi untuk menghidupkan
watak-watak yang ditampilkan dan mempengaruhi perwatakannya. Untuk tujuan itu,
senjata paling utama untuk menghidupkan fungsi latar tersebut adalah melalui
pengolahan bahasa yang berkesan. Latar tidak boleh hanya diselitkan dalam
penceritaan tanpa sebarang sandaran, tetapi harus mempungaruhi penceritaan
secara keseluruhannya.
Apabila
kita membicarakan soal keperihalan manusia, wajar diselitkan unsur sejarah
kerana manusia juga sebahagian sejarah. Pensejarahan mempengaruhi kehidupan dan
melahirkan renungan dan kenangan dalam perjalanan hidup. Maka sejarah perlu
diletakkan sebagai salah satu premis penting dalam proses penciptaan karya.
Sesuatu karya sangat bernilai tinggi andai wujud unsur sejarah dan sebatian
dengan bukan sejarah seperti dongengan dan mitos. Pengarang perlu mengenal
sejarah bagi mengenal dirinya. Tanpa mengenal diri, karya yang dihasilkan tiada
jiwa dan terasa kosong. Pengarang yang buta sejarah akan mematikan daya
kreativiti dalam penulisannya. Selain sejarah, detik masa depan juga agak
penting. Sejarah lampau dan masa depan perlu digunakan dalam membentuk
perwatakan yang baik sekaligus mampu menjadikan penceritaan bertambah kompleks.
Dalam
proses penciptaan perwatakan, perlu wujud gerak hati untuk memperlihatkan
kemanusiaan yang sebenar dalam diri watak. Gerak hati ini juga dapat
memperluaskan teknik monolog dan aliran kesedaran dalam penciptaan. Selain
gerak hati, aspek asosiasi juga penting kerana kemanusiaan sebenar berasosiasi.
Aspek ini bercorak simbolik yang memanusiakan manusia seperti membicarakan soal
perjuangan yang disamaertikan dengan aliran sungai yang tidak pernah putus.
Asosiasi ini begitu menguji kreativiti pengarang kerana pengarang biasanya akan
bermain dengan lapangan sastera yang jauh dan indah.
Penciptaan
sesuatu karya sangat berkait rapat dengan manusia sendiri. Pengarang perlu
mengenal unsur-unsur diri yang mewarnai
dan mencorakkan seni dalam kehidupan. Penghasilan karya yang bermutu tinggi perlu
lengkap dengan pekej yang wujud secara realiti seperti pertentangan yang
dipaparkan dengan baik melalui komunikasi yang berkesan dalam pelbagai latar.
Sesuatu bentuk sejarah yang ditampilkan mampu menghidupkan sesuatu karya,
ditambah dengan ramuan gerak hati dan asosiasi yang menghidupkan watak yang
dimainkan.
No comments:
Post a Comment