Thursday, 19 November 2015

BAB 10 : KESUSASTERAAN YANG BERILMU


Mengenai keperihalan kesusasteraan, ia semestinya berkaitan dengan teorinya, teori kritikannya, teori proses kreatifnya dan juga aspek sejarahnya. Di Barat, kesusasteraan adalah perkara yang bertitik tolak daripada tradisi falsafahnya yang memperjelaskan pandangan dunia serta pengalaman yang berasaskan konsep kebebasan. Perkembangan teori sastera dan teori kritikan sastera di Barat wujud apabila adanya teori Platonik dengan konteks luarannya sehinggalah ke hari ini. Di Amerika, pengalaman, akal, serta pengetahuan terhasil daripada teori sastera Marxisme. Aliran ini lahir pada zaman dahulu kerana ia pernah menjadi inti kesusasteraan di Barat dan dianggap terlalu moralistik. Sejarah keperihalan kesusasteraan Di Barat adalah peristiwa yang pinggir-meminggir tanpa ada kesudahannya.Ia juga terhasil daripada pengetahuan yang bersumberkan kebebasan pengalaman dan akal seperti Destructive, Hermeneutics, dan lain-lain.  Keruntuhan demi keruntuhan kepada dasar dan teori kesusasteraan memperlihatkan pola kesusasteraan iaitu keinsanan. Teori kesusasteraan yang wujud pada hari ini adalah dalam keadaan kekosongan keinsanan iaitu kehidupan yang dipinggirkan.

Pengetahuan yang bertitik tolak daripada daripada pengalaman serta akal mulai menyerap dalam kesusasteraan nasional kita. Namun demikian, keperihalan tempat dimana wujudnya kesusasteraan moden kita begitu rapuh sehinggakan kita masih ragu-ragu untuk mengenalpasti arah dan tujuan kita. Disebabkan ketidakpastian inilah yang memudahkan kita terjebak dalam perangkap modenisme yang terhasil daripada ilmu yang berlandaskan pengalaman dan akal yang nisbi. Kita sebenarnya tidak berlandaskan ilmu yang sebenar iaitu ilmu wahyu. Oleh sebab itulah, keadaan kita sekarang lebih kepada kurangnya aspek kerohanian dan keimanan. Tambahan pula, dari perspektif aliran modenisme zaman kini, faktor-faktor dan kerahsiaan keinsanan dalam hubungan dengan Kebenaran Hakiki tidak diperhitungkan lagi. Ia juga merupakan faktor yang menghalang perkembangan ilmu. Apabila kita membicarakan kesusasteraan sebagai ilmu dalam maknanya yang sebenar dan bukan sebagai ilmu daripada pemikiran modenisme, kita haruslah berbalik kepada persoalam pokoknya iaitu soal asas dalam kegiatan manusia mengenai kelalaian manusia itu sendiri. Insan yang berilmu adalah individu yang bertanggungjawab terhadap tingkah laku yang digerakkan oleh sifat ketuhanan.

Selain itu, kesusasteraan yang unggul adalah kesusasteraan yang berilmu. Hal ini kerana kesusasteraan yang lahir daripada insan yang berilmu yang dijiwai oleh wahyu iaitu ilmu yang diberi oleh Tuhan untuk memperoleh al-falaah.  Ia disepadukan dengan pengetahuan  yang dicari dan diteroka melalui pengalaman dan akal. Kesusasteraan yang baik adalah tidak hanya bergantung kepada era modenisme dan pascamodenisme, malah ia berfungsi untuk memperjuangkan ilmu. Disamping itu, fungsi kesusasteraan yang berilmu juga membantu kita memahami perasaan insan yang lain, memahami detik emosi yang sering berubah-ubah serta membantu menemui kebenaran yang mutlak. Kesusasteraan yang berilmu ini bukan sahaja permainan minda, malah ia membijaksanakan kita. Ia juga mengesahkan ksesusasteraan yang saintifik yang menjelaskan matlamat yang sahih dan menempatkan insan ke dasar yang sebenar. Sebab itulah juga para sasterawan haruslah menjadi pemikir yang bijak dan benar-benar berilmu dalam pengalaman dan akal yang disahkan oleh wahyu melalui karya yang dihasilkan untuk mematangkan kita tentang kehidupan yang sebenar.

Kesusasteraan yang berilmu telah menjadi dasar dalam kesusasteraan kita. Kesusasteraan ini lain daripada yang lain terutamanya kepada mereka yang berilmu untuk menunjangkan kehidupan. Namun demikian, terdapat juga golongan yang menentang kesusasteraan ini seperti suara daripada Miazrahizal Abdul Ghani dalam karya pendeknya iaitu “Teori Kritikan Mutakhir: Ramai Yang Bimbang?” Beliau meyimpulkan bahawa terdapat juga dakwaan golongan anti-teori moden yang menghubungkan kerja kritikan dengan peningkatan iman. Tetapi, kritikan dengan menggunakan teori moden adalah gagal dalam mendekatkan diri antara para penulis dengan sasterawan sehingga wujudnya kekaburan. Jikalau teori spontan ini wujud daripada pengalaman dan akal yag relatif serta tidak daripada sumber yang mutlak, pati sahaja keimanan mereka dipersoalkan. Erti kesusasteraan perlu diperjelaskan iaitu paksi utama kesusasteraan adalah manusia yakni baik sasterwannya, pembaca perlulah mengenal manusia dengan bersumberkan pengalaman dan akal yang mutlak. Jikalau makna kesusasteraan difahami dengan sedalamnya, pastinya persoalan tidak akan wujud dalam khalayak.

Dengan adanya kefahaman tentang kesusasteraan, pengetahuan yang dicari dan ilmu yang diberikan akan nampak dimana kedudukan kita yang sebenar. Ilmu yang ada akan menyakinkan diri kita dan diselarikan dengan kegiatan yang sahih. Namun demikian, kita yang berilmu apabila menerima kenyataan bahawa kesusasteraan yang berilmu ini adalah kesusasteraan yang benar-benar mempunyai makna dan indah. Walupun pelbagai cabaran yang datang, kita masih tetap dengan keperibadian kita sendiri.

 

BAB 9 : PROSES KREATIF : KESEGALAANNYA BERPUSATKAN INSAN

Assalammualaikum dan salam sejahtera , pada kali ini kami akan berkongsi tentang entri yang berkaitan dengan insan dalam menghasilkan karya serta sebagai pembaca.



           Proses kreatif merupakan sesuatu tindakan yang berlaku terhadap seseorang individu sama ada secara sedar atau pun tidak sedar. Segala ciptaan karya sastera yang terdiri daripada pelbagai genre atau keperihalan merupakan anugerah Tuhan kepada insan. Insan merupakan pihak yang bertanggungjawab atas segala tingkah laku yang dicipta olehnya sendiri. Pencipta , insan dan pembaca merupakan kategori insan yang berperanan terhadap sesebuah karya sastera. Insan merupakan pihak yang keperihalannya dijadikan bahan ciptaan manakala pembaca ialah pihak yang akan menilai hasil ciptaan yang ditulis. Insan tidak akan terlepas daripada landasan pokok iaitu segala keperihalannya sebagai pengarang , bahan pengarang dan pembaca yang akan menilai sendiri hasil pengarang tersebut. Pengarang haruslah menyedari hakikat bahawa mereka ialah hamba Allah.

            Proses kreatif haruslah bermula daripada kefahaman dan keyakinan tentang hakikat insan yang terdiri daripada aspek pengertian , kejadian , kedudukan , kesucian , martabat dan sebagainya. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak memberi keinsafan kepada pengarang supaya mereka sentiasa bertanggungjawab terhadap karya ciptaan. Selain itu ,  sasterawan yang pemikir akan menyediakan matlamat berkarya , bahan berkarya dan jenis karya yang akan disedekahkan kepada pembaca. Sasterawan haruslah memahami hubungan antaranya dengan Allah seperti mana perjanjiannya dengan Allah sewaktu dalam roh iaitu pengakuan bahawa Allah adalah Tuhannya. Sasterawan juga diingatkan supaya membersihkan diri dengan amalan yang diwajibkan serta menjauhkan diri daripada bergelumang dengan kekotoran kerana dikhuatiri dia akan menghasilkan karya yang tidak bertanggungjawab. Dalam erti kata lain , sasterawan perlu melahirkan akhlak  yang mulia dan mencorakkan karya sastera dan bukan sebaliknya.

            Setelah melalui beberapa proses mengenal diri sendiri dan memperolehi pengalaman , pengarang kebiasaannya akan menerima ilham yang menjadi dasar pengolahan karyanya. Sesuatu dasar boleh diperbaiki melalui perwatakan yang memperlihatkan keinsafan serta mempunyai beberapa perkembangan watak melalui pelbagai plot penceritaan. Komunikasi sesuatu watak boleh wujud melalui dua dimensi, merangkumi tiga entiti yang saling berinteraksi iaitu dirinya , alamnya dan Tuhannya. Selain itu , pengarang yang baik akan membangunkan tiga kesan pokok dalam sasteranya iaitu kesan kewiraan , kesan tarbiyah dan kesan mistik manakala pengarang yang tidak mengenal dirinya sebagai insan akan mewujudkan kesan-kesan martabat rendah.

          Seterusnya ialah mengenai karya sastera yang mana keperihalan sastera merupakan dasar kesusasteraan serta merujuk kepada insan yang berbahasa , berfalsafah , berlatar dan juga berplot. Jika sesuatu karya semakin jauh mengembara ke dalam lubuk keinsanan melalui sastera , semakin sulit bagi pembaca menemui makna saranan. Aspek-aspek yang dieksploitkan oleh pengarang dalam proses kreatifnya ialah aspek insan bermasalah , aspek insan berkomunikasi , aspek mimpi insan , aspek insan yang berfuturistik dan aspek ketidakwarasan insan. Sekiranya berlaku kehakisan asosiasi dalam sesuatu penceritaan maka terhakislah segala makna dalaman keinsanan dalam hubungan dengan alam . Apabila sesuatu proses kreatif melahirkan cereka yang besar dan latar kadang kala diperlukan bagi mengaitkannya dengan kehidupan insan yang diolah melalui seni.

Selain itu , saluran sastera adalah bahasa dan merupakan insan berbahasa. Meskipun aspek mengenai sastera dilupakan oleh banyak pengarang tetapi masih terdapat semacam aliran yang berusaha untuk memartabatkan bahasa sebagai makna kesusasteraan selengkapnya. Kepekaan , naluri dan pengalaman sasterawan berkaitan dengan insan akan menambahkan lagi kejernihan segala keperihalan sebagai bahan proses kreatif. Namun begitu , sasterawan mengalami tekanan akibat daripada tindakan-tindakan insan yang bertentangan dengan sifat ketuhanan.Sebagai contoh , tekanan yang wujud dalam ilham novel  Patriarch dan tekanan ini mencabar sensitiviti walaupun novel ini belum wujud secara fizikalnya tetapi telah lama memperlihatkan bentuk “di dalam”.
 

Patriarch mendukung makna ketua atau kepala keluarga tetapi jika mengikut asosiasinya lebih menyarankan makna pemimpin negara. Novel ini lebih merujuk kepada pergolakan politik tanah air yang bermula semenjak pencapaian kemerdekaan hingga sekarang. Pelbagai perkara yang berlaku hingga menyebabkan Patriarch mati akibat serangan jantung susulan daripada rakyat patriotik yang mendoakan kematiannya. Perkembangan cerita ini diproses secara tersirat dan tiada kesatuan dalam komposisi serta terasa jalinan kisah yang terpisah-pisah. Tambahan pula, menurut novel tersebut , jika kepimpinan lebih kepada kegilaan pada kuasa , kemasyuran dan kemewahan , maka akan menyebabkan tekanan serta keradangan rakyat jelata.

            Seterusnya adalah berkaitan dengan kedudukan karya (teks) dalam hubungannya dengan insan pembaca yang bertolak daripada hubungan antara insan sastera dengan insan pembaca. Hubungan ini dijalinkan oleh teks dan segala keperihalannya. Membaca dan memahami teks adalah proses memasuki dan meneroka pengalaman insan , menganalisis dan menilai segala keperihalannya. Teks adalah pengalaman insan yang diproses oleh sasterawan dengan penuh tanggungjawab , penuh dengan saranan dan cabaran untuk dialami dan difahami oleh pembaca. Pembaca juga perlu melalui proses kreatifnya yang tersediri melalui tindakan menganalisis saranan yang diperlihatkan oleh sasterawan melalui perwatakannya. Sasterawan mendapat pengalaman berasaskan renungan , analisis dan penilaian pembaca.

            Kesimpulannya , sekiranya sasterawan yangmengenal diri mereka sebagai insan atau hamba Allah , maka mereka akan menghasilkan karya yang bermutu ditambah pula dengan pengalaman dalam hidup dan hasil pembacaan. Perkara yang sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka tidak menghargai diri mereka dan karya yang tidak bermanfaat akan dibaca oleh pembaca. Sehubungan itu , sasterawan perlu mengambil kira tentang insan , pembaca serta bahan yang mereka akan gunakan untuk menghasilkan karya.
 
 

BAB 8 : CEREKA MELAYU ALA NOUVEAU ROMAN: REALISME TANPA IDEALISME

Bismillahirahmanirahim , pada kali ini entri kami adalah berkaitan dengan 'CEREKA MELAYU ALA NOUVEAU ROMAN: REALISME TANPA IDEALISME'.



Pada awal tahun 50-an, Nouveau Roman diperkenalkan di Perancis oleh para sasterawan seperti Michel Butor, Alain Robbe-Grillet dan Nathalie Sarraute. Mereka menganggap dunia sastera mencabar pola penceritaan novel dan cerpen kerana bentuk penulisannya. Namun demikian, wujud persoalan apakah itu nouveau roman, mengapakah wujudnya nama nouveau roman, dan kemanakah nouveau roman? Selepas 40 tahun, nouveau roman diperkenalkan di Malaysia melalui Daerah Zeni oleh A. Samad Said, Cerpen-cerpen G oleh Abdul Rahim Mohd dan sebagainya. Faktor penyebaran ini juga bukan sahaja dari tokoh-tokoh seperti yang dinyatakan, tetapi mungkin juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti karya Midnight Children oleh Salman Rushdie dan karya-karya yang lain.

Terdapat beberapa definisi bagi makna nouveau roman. Menurut Sturrock, nouveau roman adalah “play of the mind” iaitu mainan minda, manakala Heath pula menyatakan nouveau roman adalah sebagai “an antithesis to the mainstream of realist fiction”. Jefferson pula menyatakan nouveau roman adalah “reflexivity the nation that fictions do reflect not only realism but the idea of fiction itself”. Orang ramai menganggap ia adalah sebab daripada pascamodenisme dalam erti kata cereka yang dikenalpasti sebagai kelainan non-konvensional yang bertentangan dengan norma cereka konvensional. Perbezaan inilah yang menonjol dengan ketaranya sebagai unsur cereka nouveau roman. Karya genre ini juga begitu menonjol kerana ia melanggar hukum konvensional dalam penciptaan karya fiksyen seperti latarnya tidak konkrit tetapi lebih bersifat imaginatif dan sering berkaitan dengan alam ghaib. Aspek dalaman menerusi dialog dianggap tidak revelan kerana monolg dalamannya yang bertele-tele. Gabungan realiti, kreativiti, dan kepekaan telah menyukarkan organisasi dngam simbol yang berlapisan. Selain itu, plot dan perwatakan juga dipendekkan kerana dari segi aspek luarannya bagi penerokaan secara mendalam, malah banyak penceritaan yang bersifat antiplot, antiwirawan, antilatar, dan antikisah. Contohnya, melalui novel Daerah Zeni yang menceritakan tentang keserabutan oleh Lazri Meon yang terjebak antara realiti dengan non-realiti. Akibatnya, dia lebih gemar menyendiri dan mengasingkan diri dari dunia masyarakat setempat. Dia juga terjebak dengan penyakit modenisme iaitu neurosis dan psychosis.

Seterusnya, berbalik kepada persoalan kedua iaitu mengapakah nouveau roman? Jikalau nouveau roman diterima sebagai pascamodenisme, maka menurut Cleanth Brooks menyatakan aliran ini telah memperlihatkan masyarakat yang runtuh tanpa visi dan organisasai. Cereka juga masih dianggap sebagai pancaran masyarakat yang melahirkannya, maka permasalahan masyarkat itu telah lama wujud. Sebab nouveau roman adalah kerana pelanggaran terhadap sistem penulisan cereka konvensional ini wujud daripada masyarakat yang runtuh akhlaknya. Individu yang mempunyai jiwa yang memberontak adalah untuk mengasingkan diri mereka daripada masyarakat lain. Keadaan ini adalah punca daripada krisis nilai masyarakat Barat yang mengamalkan kebebasan dalam kreativiti sebagai sesuatu yang mutlak. Kesusasteraan adalah dimana teorinya, sejarahnya, kreativitinya, dan kritikkannya adalah bercorak pascamodenisme yang merakamkan keruntuhan dalaman masyarakat. Namun, jika sastera masih dianggap sebagai pancaran masyarakat, maka cereka ala nouveau roman telah menunjukkannya. Berbanding dengan karya di Malaysia seperti Daerah Zeni, Ronjang, dan lain-lain dianggap sebagai genre cerpen novel yang menunjukkan masyarakat yang sebenar. Maka jelaslah bahawa masyarakat kita sendiri mengalami masalah modenisme kerana keghairahan para sasterawan kita memanipulasikan pola nouveau roman yang non-konvensional dengan ciri konvensional untuk memperlihatkan pemberontakkan. Mereka juga memainkan peranan dalam merakamkan reality sebenar manusia, namun secara tersiratnya mereka juga mendedahkan kebodohan manusia itu sendiri.

Persoalan yang terakhir adalah kemanakah sebenarnya nouveau roman ini? Persoalan ini adalah berkaitan dengan soal idealisme dimana realiti masyarakat merupakan inspirasi yang utama dalam penciptaan karya sastera. Menurut pandangan Islam, setiap keperihalan manusia adalah mempunyai harapan dan cita-cita. Karya sastera ini perlu menunjukkan kesepaduan antara realisme, idealisme, dan estetika. Realiti dan estetika merupakan rakaman tanpa peleraian yang mampu membina akhlak manusia. Ia termasuklah bidang-bidang kesenian seperti kesusasteraan yang memperlihatkan keseniaan sebagai proses martabat manusia. Unsur utama bagi proses ini adalah akhlak manusia yang berlandaskan tauhid. Tanpa ketauhidan ini, maka manusia akan hidup dalam dunia fantasi. Dari segi idealisme ini juga kita mendapati bahawa karya Daerah Zeni agak hambar kerana watak yang dimainkan adalah lebih asing daripada dunia realiti yang sebenar. Begitu juga dengan karya Salina, dimana kedua-dua karya ini dilihat secara komposisi antara realisme dengan estetika. Realisme adalah sumber untuk bertolak, manakala estetika adalah bahasa yang dimanipulasikan. Karya sastera yang unggul adalah karya yang jelas idealismenya, kesepaduan antara reality, imaginasi, dan estetika reality, serta gabungan antara imaginasi dan estetika. Tetapi, gabungan reality, imaginasi, dan estetika adalah kesusasteraan idealisme yang sebenar.

BAB 7 : JENIS ATAU KATEGORI FIKSYEN


Assalammualaikum dan salam sejahtera , untuk post pada kali ini , kami akan bercerita lanjut mengenai 'Jenis Atau Kategori Fiksyen' .
 
          Novel, cerpen dan novela adalah kategori asas dalam fiksyen. Terdapat beberapa kategori yang diterbitkan daripada genre ini yang mempunyai ciri unsur keutamaan. Antaranya, ada fiksyen yang mengutamakan aspek luaran dan aspek dalaman manusia. Ada juga fiksyen yang mementingkan isi dan jenis isi seperti dalam fiksyen sains. Ada pula fiksyen yang hanya tertumpu pada tema seperti tema eksistensialisme dan ada juga fiksyen yang menonjolkan makna-makna melalui simbol, citra serta kiasan yang boleh diasosiasikan oleh kita sebagai pembaca atau pengkritik. Bagi pembaca atau pengkritik, pembahagian fiksyen kepada beberapa kategori akan memudahkan kerjanya untuk memahami, menganalisis dan menilai fiksyen. Pada peringkat luaran, ada pengalaman yang wujud hasil daripada saranan oleh pengarang dengan lebih jelas. Manakala pada peringkat dalaman, terdapat dua aspek yang wujud melaluinya iaitu aspek emosi dan  aspek sebab-akibat. Aspek emosi sifatnya lebih menderita, agresif, ganas menolak sesuatu dan ghairah bagi memenuhi tuntutan fitrahnya. Sebab-akibat keadaan yang ditonjolkan oleh pengarang lebih terkawal, tenang dan praktis jika dibandingkan dengan emosi. Sebab-akibat mudah dikenalpasti kerana sifatnya bercorak kemasyarakatan dan emosi lebih bersifat individuality yang mungkin penuh dengan konflik. Selain daripada emosi dan sebab-akibat, terdapat juga aspek kejiwaan yang cuba diketengahkan. Hal ini demikian kerana, aspek ini lebih bersifat penekanan yang lebih pada ragi atau corak pemikiran seseorang. Watak dan perwatakannya begitu realistik, canggih dan kompleks.

            Terdapat pelbagai jenis dan kategori fiksyen dalam artikel ini. Antaranya, fiksyen sosial yang amat sinonim dengan masyarakat. Patutlah fiksyen ini dinamakan sebagai fiksyen sosial kerana fikyen ini lebih tertumpu pada perihal kemasyarakatan. Perihal yang dimaksudkan adalah yang berkaitan dengan ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Peristiwa atau episod dalam komposisinya memang biasa dengan pengalaman kita. Latar tempatnya lebih terperinci seperti kedudukan karma atau rumah, bunyi atau kegiatan yang lain. Emosi di dalamnya memang wujud tetapi tidak seberapa kalau dibandingkan dengan penonjolan sebab-akibat. Hal ini demikian kerana, sebab-akibat ketara dan boleh difahami secara langsung tanpa terselindung disebalik simbol atau citra tertentu. Sebagai contoh cerpen sosial, ialah Patah Tumbuh oleh Keris Mas dan contoh novel sosial oleh A.Samad Said iaitu Salina.
                                           

             Kategori atau jenis fiksyen kedua ialah fiksyen kejiwaan atau fiksyen psikologi. Fiksyen ini memberi penekanan terhadap pengalaman emosi dan mental yakni bukan pengalaman fizikal atau sosial seperti dalam fiksyen sosial. Watak-wataknya tidak banyak dan tertumpu kepada individu tertentu. Fiksyen psikologi memfokuskan terhadap perkembangan personality individu seperti sikapnya akan hidupnya dan sesuatu yang lain, perubahan dalaman yang canggih dan kompleks yang mempengaruhi dirinya. Tujuan utama fiksyen ini adalah untuk memahami dan merasai pembentukan perasaan dan sikap individu tertentu.

Terdapat lima teori yang dikemukakan oleh Sigmund Freud mengenai psikologi manusia. Pertama, teori ini bertolak daripada kedudukan asas ketidaksedaran. Kedua, Freud membahagikan kejiwaan manusia kepada struktur tiga tahap iaitu id, ego dan superego. Id adalah prinsip keseronokan dan dianggap sumber segala keinginanyang menekan, tidak tenteram dalam tuntutannya memperoleh kepuasan. Ego, adalah prinsip reality dan jika kedua-dua prinsip ini bergabung maka berlakulah pertentangan atau revolusi dalaman yang hebat. Superego, boleh dikatakan natijah hasil daripada produk ego. Maka hasillah nilai murni yang diserap oleh ibu bapa atau pendidikan baik pendidikan formal mahupun tidak formal. Teori ketiga, Freud menegaskan bahawa mimpi adalah ekspresi fikiran bawah sedar. Teori keempat, konsep kelakuan atau tingkah laku manusia, pada asasnya mengikut Freud bersifat seksual. Dan teori yang terakhir ialah perhubungan yang erat antara neurosis dengan kreativiti yang lahir karya psikologi yang kadang-kadang di luar dugaan kita kerana tuntutan id memang banyak di luar tuntutan keinsanan, terutama zaman sekarang. Sebagai contoh dalam novel Nouveau Roman dikarang oleh Alain Robbe-Grillet.

Kategori dan jenis fiksyen yang seterusnya ialah fiksyen Nouveau Roman. Dalam perkembangan fiksyen Melayu kita, karya-karya yang mempunyai ciri-ciri Nouveau Roman memang wujud baik cerpen mahupun novel. Contohnya, karya A.Samad Said Daerah Zeni dan Hujan Pagi. Beliau mencipta karya ini kerana, sengaja membiarkan inspirasi dan imaginasinya tercurah-curah secara spontan dan bersahaja sehingga langgam penceritaannya melompat ke sana sini baik dalam persoalan, baik dalam masa mahupun dalam teknik langgamnya. A. Samad Said kebelakangan ini, memang kelihatan terperangkap dalam kancah Nouveau Roman.

Kategori dan jenis fiksyen yang keempat ialah fiksyen idea. Fiksyen Idea, sering disamakan dengan fiksyen tesis atau fiksyen bertenden ataupun The Roman a these. Prinsip fiksyen ialah menolak daripada satu tesis dan berkembang kepada antithesis dan berakhir dengan sintesis. Fiksyen ini mengalakkan reformasi sosial ataupun satu pembetulan kepada sesuatu yang salah. Contoh karya oleh Allahyarham Keris Mas yang bertajuk Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Tesisnya kapatalisme dan individualisme. Antitesisnya pula ialah sosialisme sedangkan sintesisnya pula Islam.

Kemudian fiksyen romantisme. Fiksyen ini, merupakan aliran yang sering diperkatakan orang baik dalam kreativiti mahupun dalam hal apresiasi karya sastera. Latar tempatnya begitu jauh saujana mata memandang atau pada suatu tempat yang agak kabur iklim dan persekitarannya. Watak utamanya, orang yang bersifat emotional dan suka menyisihkan dirinya daripada masyarakat umum kerana ingin melayani emosinya terutama emosi tentang sesuatu perjuangan yang indah seperti cinta. Fiksyen ini juga merupakan fiksyen aksi dan fiksyen ini bukan fiksyen realistik tetapi realistik yang kaya dengan ciri-ciri hiperbola secara emotional. Sebagai contoh karya S.Othman Kelantan, Juara merupakan salah satu novel romantisme.

Kategori fiksyen yang lain ialah fiksyen satira. Dalam kata pengantar kepada novel satira Hassan Ibrahim, Tikus Rahmat, antara lain saya katakana akur dengan makna harfiah sebagai hidangan bobot dengan aneka rencah, satira menyarankan kesepaduan maksud yang tersembunyi di dalamnya konotasi-konotasi sarkasme, cemuhan , ironi, ketawa campur tangisan, kadang-kadangnya, lelucon kering, komedi rendah atau humor dan komedi tinggi.

Kesimpulannya, sebelum hadirnya fiksyen jenis ini memang banyaklah jenis fiksyen, umpamanya fiksyen bercorak romantik, fiksyen simbolik, fiksyen Gothic, fiksyen popular, satira, fiksyen sains, fiksyen Bildungsroman, fiksyen autografi atau biografi, fiksyen eksistensialisme, fiksyen sejarah, fiksyen idea dan banyak lagi. Dan dapatlah kita menyatakan bahawa satira yang besar dan berjaya hendaklah berupaya memperlihatkan daya intelektualan yang tinggi dan pemikiran yang bernas serta penuh kebijaksanaan.

 

 

BAB 6 : APRESIASI KARYA SASTERA


Bismillahirahmanirahim , pada kali ini , kami akan membincangkan tentang topik Apresiasi Karya Sastera.
         Kebimbangan dalam aspek apresiasi karya sastera. Kebimbangan itu wujud kerana didapati terdapat sebilangan pembaca yang menjadi pembaca pasif. Pembacaan pasif ini akan menyebabkan apa yang tersirat dan teradun dalam sesebuah karya itu, tidak dapat ditangkap oleh pembaca. Pembaca tidak memahami persoalan yang ditulis dalam karya kerana mereka hanya membaca di sudut permukaan sahaja. Makna-makna yang tersirat juga dalam penulisan gagal untuk difahami dan disaring oleh pembaca. Kesannya, pembaca akan dibentuk dengan kefahaman yang sempit sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan yang mendalam terhadap pembacaan itu.

        Tujuan utama penciptaan karya sastera adalah untuk membawa pembaca mendalami dan memahami pengalaman dari pelbagai aspek. Oleh itu, apresiasi karya adalah proses  kreatif. Makanya, apabila karya itu mengalami proses yang kreatif, pembaca juga seharusnya bertindak kreatif bukannya pasif. Pembaca juga perlu mengetahui perkara atau matlamat yang hendak dicarinya di dalam pembacaan sesuatu karya dengan menggunakan kaedah utama iaiu kaedah menyelak lapisan makna dalam pembacaan tersebut. Jika tidak, pembaca kurang mendapat kepuasan terhadap karya yang dibacanya.

       Rahsia utama untuk melalui proses apresiasi karya sastera dengan jayanya ialah memahami  terlebih dahulu bagaimana pengarang memanipulasikan unsur penceritaannya dan sejauh mana pengarang cuba menariks ikap dan respon pembaca daripada segala drama dan makna pengalaman manusia dicipta.

       Terdapat dua jenis pembaca yang hendak mengapresiasikan karya sastera. Pertama ialah pembaca yang biasa yang berminat untuk memahami pengalaman manusia yang dihidangkan dengan harapan pengalaman tersebut menjadi pengalamannya pula. Pembaca kategori ini, dikatakan sebagai pembaca pasif. Dia membiarkan pengalaman yang dibacanya masuk ke dalam pemikirannya dan kemudian membenarkan keluar dengan meninggalkan sedikit sisanya untuk menambah pengalaman sedia ada.

       Jenis yang kedua ialah pembaca aktif dalam pendekatan pembacaannya. Mereka lebih serius dalam pembacaan dan sering digolongkan kepada golongan pengkritik. Pembacaannya lebih patuh kepada disiplin yang diyakininya. Kesan mereka lebih bercorak perasaan dan penerimaan yang tersusun dan padar dengan sebab dan akibat yang juga diyakini melalaui pegangan atau teori yang dipatuhi.

       Kesimpulannya, apresiasi karya sastera sangat penting. Ini kerana berbalik kepada tujuan asal penciptaan karya sastera yang mana membolehkan pembaca memahami pengalaman manusia dalam segala keperihalan melalui kaedah yang menuntut kehalusan daya persepsi, baik melalui emosi, imaginasi, realiti dan sebagainya. Jadilah pembaca kreatif dan aktif bukannya pembaca yang pasif.

 

Wednesday, 18 November 2015

BAB 5 : TOKOH DAN KETOKOHAN


Dalam entri kali ini, kami akan membincangkan mengenai satu subtopik yang menarik dalam setiap pembacaan novel dan cerpen. Setiap novel dan cerpen, watak memainkan peranan yang penting untuk menarik pembaca untuk membacanya. Tetapi dalam karya Shahnon Ahamd dalam bukunya yang berjudul ‘Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya’, watak dan perwatakan ditukar menjadi tokoh dan ketokohan. Dengan ini, telah menunjukkan bahawa beliau bijak mencari kelainan agar para pembaca tertarik untuk membaca karyanya bagi mengetahui dengan lebih mendalam mengenai ‘apa itu tokoh dan ketokohan’.

Tokoh dapat diertikan sebagai dramatis personae, iaitu individu rekaan yang memegang peranan dalam novel, cerpen dan drama (Dr. Panuti Sudjiman dalam Kamus Istilah Sastra). Mengikut Panuti, watak dan perwatakan adalah sifat dan ciri yang terdapat pada tokoh, kualitas nalar dan jiwanya membezakannya daripada tokoh lain.
          Kategori Tokoh terdiri daripada :
          
          1) Tokoh Andalan
          2) Tokoh Bulat
          3) Tokoh Pipih atau Datar
          4) Tokoh Durjana atau Jahat
          5) Tokoh Statis dan Tambahan
          6) Tokoh Protagonis
          7) Tokoh Antagonis

       
         Tokoh dan ketokohan sebenarnya merupakan satu ilusi tetapi meyakinkan dan realistik. Ilusi mempunyai tiga unsur iaitu kosintensi, kompleksiti, dan individualiti. Ketiga-tiga unsur ini merupakan matlamat bagi sasterawan dalam penulisan karyanya.
          1) Kosintensi
    • Tokoh yang tidak berubah , tidak berganjak dan kedudukan serta perkembangannya adalah tetap.
    • Menjemukan kerana ketiadaan perkembangan dalam kemanusiaannya.
       2) Kompleksiti
  • Berlandaskan sofistikasi dan konflik
  • Karya besar dunia (psikologi) berkembang atas landasan kompleksiti dan konflik.
  • Kompleksiti dan konflik diterokai dan dieksploitkan oleh pengarang untuk mendedahkan pelbagai rahsia manusia.
       3) Individualiti
  • Menyerlahkan keunikan dengan latar yang bukan biasa atau normal.
  • Memperlihatkan kecacatan dalam bentuk abnormal seperti cereka nouveau roman atau realism magis.
 
 
Tokoh-tokoh protagonis dan antagonis merupakan tokoh yang penting dan perlu memiliki sifat-sifat yang menyakinkan dan realistik. Tokoh-tokoh itu perlu mempunyai sifat-sifat campuran antara yang unik dengan yang tipikal dan kemudiannya mengembangkan keunikannya kepada sifat individualiti. Tokoh dan ketokohan yang tidak unik dan tidak individualiti sebenarnya cukup membosankan dan tidak meninggalkan keberkesanan kerana terlalu biasa.
Dalam masa yang sama, tokoh dan ketokohan juga janganlah telalu jauh daripada sifat-sifat yang normal, jangan terlalu tipikal. Mereka perlu disedari bahawa personaliti manusia berubah-ubah, tidak statik. Dia membesar, berkembang, dipengaruhi dan mempengaruhi serta tokoh dan ketokohannya yang turun naik.
Tokoh tidak lagi dibenarkan untuk hanya bertindak secara fizikal kerana dia bukan binatang. Dia tidak hanya  mementingkan aksi seperti dalam novel hikayat atau novel popular umpamanya. Tokoh dan ketokohan juga bukan alat berkomunikasi penuh drama dan sensasi kerana tokoh dan ketokohan perlu hidup dalam kisah, kehidupan dan perasaan, kehidupan dalam minda dan sebagainya. Tokoh yang tidak berubah dikatakan tokoh yang pipih kerana perkembangannya hanya sehala. Tokoh yang berubah dikatakan sebagai tokoh bulat. Ia bergolek dalam proses golekannya, ditimbanya pelbagai pengalaman yang mempengaruhinya dan berjaya mempamerkan keunikan dan individualitinya. Dia menjadi tokoh yang kompleks, penuh pertentangan dengan pelbagai aksi dan tokoh serta ketokohan seumpama ini sememangnya menarik perhatian.
Tokoh dan ketokohan banyak disembunyikan dalam karya dengan tujuan supaya para pembaca mengisi sendiri kekosongan dengan bersumberkan daya kreatif dan daya imaginasi pembaca. Malah penyembunyian perwatakan tokoh dalam karya kerana demikianlah rahsia alam dan rahsia kehidupannya. Hanya pembaca yang peka dan tajam daya sensitivitinya sahaja yang dapat menyedut makna yang tersirat dan dapat mengenali tokoh dan ketokohan yang sebenarnya dalam karya tersebut.
Menurut Leon Surmelon, pelukisan tokoh dan ketokohan sama seperti lapisan salji. 90% pelukisan berada dibawah lapisaan salji dan hanya 10% pelukisan sahaja yang dihuraikan. Hal ini kerana, pembaca akan menjadi terlalu pasif sekiranya pengarang mendedahkan tokoh dan ketokohannya. Kelesuan tokoh dan ketokohan ini terjadi disebabkan sasterawan tidak dapat mempertahankan keghairahan dan nafsunya. Ketegangan juga merupakan syarat penting kerana tokoh yang menarik adalah tokoh yang berada dalam ketegangan, bukan tokoh yang berada dalam aksi. Aksi fizikal memang oenting, tetapi sasterawan yang bijak hanya mengambil aksi tokoh sebagai alat untuk menyiratkan makna yang lain bagi memberitahu makna ketokohan yang sebenar. Aksi dalam pula berfungsi untuk memperhalus pengalaman tokoh supaya ketokohannya menyarankan makna yang halus dan matang.
Robert Stanton, dalam bukunya An Introduction to Fiction, membuahkan banyak fikiran yang bernas untuk kita renungi. Antaranya: cereka popular mudah dibaca kerana ia Cuma mengisahkan cerita tetapi cereka yang berat dan serius menjadi lebih sukar kerana ia mempunyai dua unsur tambahan lagi iaitu kemanusiaan yang perlu digali oleh pembaca ssebijak dan sehalus mungkin dan satu lagi ialah unsur seni yang menuntut pembaca mengenalinya dan mengapresiasikannya. Demikianlah pentingnya tokoh dan ketokohan dalam karya sastera.
 

 
 
 
 
 
 
 

Thursday, 12 November 2015

BAB 4 : PENYAKIT DALAM KARYA SASTERA


Bidang kesusasteraan juga mempunyai penyakit sepertimana penyakit dalam kehidupan kita. Melalui bidang kesusateraan ada penyakit yang lahir sebagai hasil daripada kejahilan dan kebutaan kita tentang makna kesusateraan. Kita ingin bersastera tetapi kita tidak mengetahui hakikat bersastera yang sebenar. Akibatnya kita bukan bersastera dan turut mengembangkan dan memantapkan bidang kesusateraan malahan kita menambahkan lagi penyakit yang dideritai oleh kesusateraan. Berbalik semula kepada penyakit dalam karya sastera, terdapat dua jenis penyakit dalam kesusasteraan iaitu penyakit luaran dan penyakit dalaman.

Penyakit gila berpersatuan sastera merupakan penyakit luaran bagi bidang kesusateraan. Keadaan ini menyebabkan makna dan teras kesusteraan dikatakan hanya berpaksikan kepada persatuan dan bukannya berpaksikan kepada karya sastera. Akibatnya lahirlah beratus penulis yang masing-masing sibuk dengan persatuan dan melupakan tugas utama seorang penulis iaitu berkarya sastera. Ini juga akan menyebabkan karya sastera tidak meningkat kerana kurangnya daya kreatif.

Seterusnya penyakit dalaman dalam karya kesusasteraan. Penyakit dalaman ini telah dirungkai oleh penyair Indonesia iaitu Sutardji Calzoum Bachri. Antara penyakit dalaman karya sastera yang paling menonjol ialah apabila sesebuah karya tersebut mengandungi pelbagai idea yang meliputi aspek kehidupan. Pelbagai aspek yang dirangkai-rangkai sehinggakan karya tersebut menjadi suatu timbunan idea semata-mata. Karya yang baik merupakan karya yang bercorak perwatakan dan bukannya timbunan idea. Karya sastera bukanlah buku falsafah atau kamus, karya yang sedemikian akan menyebabkan hal yang kita hadapi bukanlah karya sastera kemanusiaan tetapi hanyalah karya sastera idea. Setiap penyakit ada penawarnya, begitu juga dengan penyakit dalam karya sastera. Bagi penawar untuk penyakit karya sastera timbunan idea ini ialah dengan menjaga idea pokok dalam sesebuah karya agar tidak ditenggelami oleh idea-idea lain yang tidak berkaitan.

Penyakit dalaman dalam karya kesusateraan yang seterusnya ialah pengarang berbakat alam semata-mata. Bakat  seperti ini Cuma bermodalkan emosi dan sedikit sebanyak ilmu yang ditangguk daripada keghairahan ingin mengarang. Pengarang tidak mempunyai ilmu dan pengalaman untuk mengolah menjadi sesebuah karya sastera yang bermutu. Selain itu, bakat alam ini juga tidak berani mengambil risiko dan tidak berani membuat eksperimen dalam olahan mahupun dalam gaya bahasa. Oleh itu bakat alam merupakan satu penyakit juga kerana ia tidak berkembang dalam sesuatu karya kerana tiada unsur kreativiti. Dalam kalanagan pengkritik, ada juga yang buta sastera kerana hanya menilai bakat alam semata dan tidak mengenal mutu dan martabat karya sastera nasional.

Penyakit lain ialah berpunca daripada persoalan pokok sesuatu karya. Akibat daripada kekerdilan daya kratif dan kesempitan ilmu pengarang telah menyebabkan pengolahan persoalan menjadi kabur dan abstrak. Persolan berkembang tanpa urutan yang menyakinkan sehingga kekaburan yang ditangkap. Pengarang tidak mengisar persoalan selumatnya kerana pengarang tidak mengetahui untuk mempericikan sesuatu persoalan dalam sesuatu karya. Selain itu, abstraksi juga merupakan satu penyakit dalam karya sastera kerana persoalan yang kacau menganggu komunikasi antara pengarang dan pembaca. Abstraksi juga berpunca daripada faktor bahasa yang juga memainkan peranan dalam menghasilkan karya. Hal ini, kurangnya keterampilan menggunakan bahasa sebagai alat dalam berkarya. Pengarang tidak pintar dalam mengeksploitkan  bahasa ntuk meresap kedalam jiwa pembaca, kekerdilan seperti inilah menjadikan idea bertimbun dan berterabur. Cara untuk mengubati penyakit ini dalam permainan gaya bahasa ini selain daripada mempertajamkan daya kreativiti.

Aspek drama dalam karya juga merupakan penyakit dalaman sesuatu karya sastera. Banyak karya yang menonjolkan babak kehidupan yang jauh menyimpang daripada realiti malah ada juga karya yang memperlihatkan keterlaluan sifat dramatiknya sehingga yang terasa bukan keindahan tetapi hanya kepura-puraan. Drama yang melampaui batasan berpunca daripada penyakit pengarang itu sendiri yang hendak menonjol-menonjolkan dirinya dalam karyanya. Sehinggakan pembaca sudah tidak mampu menghayati karya sastera. Keadaan ini mengorbankan keseniannya dan penyakit ini perlu dikikis, kesusteraan mendidik dan apa yang hendak disampaikan secara salah akan membunuh kesenian. Penyakit dalaman sastera yang seterusnya ialah kebosanan. Kebosanan menunjukkan pengarang tidak ada daya kreatif yeng teguh, tidak berani membuat pembaharuan untuk  meningkatkan kreativitinya. Penyakit ini perlu disembuhkan melalui kebangkitan daya kreatif dari dalam. Pengarang perlu banyak membaca dan meneliti karya besar daripada pengarang lain. Dalam Negara kita banyak pengarang yang bermonotomi, meskipun mereka menghasilkan novel yang tebal-tebal padahal karya mereka hanya penuh dengan episod yang diulang-ulang dengan penukaran hal yang remeh-remeh sahaja.

Penyakit terakhir dalaman dalam sesuatu karya sastera ialah keghairahan pengarang untuk memenuhi kehendak khalayak. Pengarang yang hanya menulis untuk memenuhi selera pembaca dan bukannya untuk memimpin pembaca untuk mempertajamkan daya persepsi mereka atau menghidangkan sesuatu pengalaman yang baru kepada pembaca. Pengarang seperti ini hanya akan mengarang untuk menyukakan hati orang ramai. Contohnya jika kisah cinta yang disukai, pengarang akan menulis tentang kisah cinta.  Karya-larya ini hanya anekdot tanpa kreativiti yang mantap dan mencabar. Pengarang tidak ubah seperti penglipur lara semata.

Kesimpulannya, pengarang perlu menghalang wabak penyakit ini berjangkit dengan pengarang serta penulis yang lain agar karya sastera mampu berkembang seiring dengan tahap kreativitinya.

Thursday, 5 November 2015

BAB 3 : TAHAP KELAINAN ANTARA CEREKA, BUDAYA TINGGI, BUDAYA POPULAR DAN BUDAYA PICISAN


Bismillahirahmanirahim ,
        Alhamdulillah , untuk entri kali ini pula , kami akan menceritakan tentang "Tahap Kelainan  Antara Cereka, Budaya Tinggi, Budaya Popular dan Budaya Picisan"
 
          Tahap sesebuah karya sastera dapat dilihat dari pelbagai perspektif. Dari segi penilaian terhadap karya, terdapat pelbagai arasnya yang bergantung pada karya, penilai dan pengarangnya. Terdapat tiga tahap atau kategori yang mudah kita fahami dalam penilaian terhadap sesebuah karya iaitu fiksyen budaya tinggi, fiksyen budaya popular, dan fiksyen budaya picisan. Ketiga-tiga tahap ini mempunyai elemen-elemen yang sama seperti ada tema dan plot, ada cerita dan perwatakannya, ada sudut pandangan, latar dan sebagainya. Kelainan antara ketiga-tiga kategori itu terletak pada kaedah dan matlamat penceritaannya, peranan atau fungsi elemen-elemen fiksyen itu sendiri.

Matlamat fiksyen popular adalah lebih kepada hiburan bercorak sederhana yang hanya sekadar menuntut daya penerimaan dari indera tahap selapis sahaja. Selain itu, matlamat fiksyen popular juga menuntut renungan tetapi renungan yang hanya berkisar pada lapisan selapis dan tidak sukar memahami maknanya kerana makna cerita yang dibawa oleh watak memang mudah difahami. Kemudahan tahap kefahaman dipentingkan dalam karya fiksyen popular ini. Karya popular memang baik tetapi mutu kebaikannya hanya pada tahap popular itu sahaja.

            Matlamat fiksyen budaya tinggi berbeza dengan matlamat fiksyen popular kerana fiksyen kategori ini mempunyai adunan cerita yang lebih kompleks. Kadang-kadang pergaulan elemen fiksyen dalam komposisi tidak berurutan dan paradoks sifatnya kerana kaedah seumpama itu amat bersesuaian dengan tahap kemanusiaan yang menjadi titik persoalannya. Matlamat kategori ini lebih kepada penerokaan rimba raya. Sebagai contoh novel Heart of Darkness, karangan Joseph Conrad yang mengisahkan pengembaraan masuk ke dalam hutan belantara di Afrika yang gelap dan penuh rahsia. Sehinggakan pada satu tahap novel Conrad ini dapat dikatakan popular sifatnya tetapi pada tahap yang lain ia novel yang berbudaya tinggi.

 
            Kelainan seterusnya ialah kelainan bagi kategori karya budaya picisan. Karya ini bermatlamatkan hiburan tetapi hiburan jenis gugahan nafsu yang mudah diganggugugatkan. Karya jenis ini dicipta untuk penggiur nafsu amarah. Perhitungannya cuma bersifat komersial dengan kaedah mendedahkan babak erotik dan lucah yang mudah memancing manusia yang tidak diajar membezakan yang baik dari yang tidak baik atau antara yang benar dengan batil. Karya ini juga menyentuh persoalan aspek seks semata. Sebagai contoh novel Salina karya A.Samad Said dicap sebagai novel lucah tetapi hakikatnya novel ini mempunyai budaya tinggi. Begitu juga dengan novel Alberto Moravia, The Woman of Rome.