Assalamulaikum dan
salam sejahtera.
Sebelum
kami meneliti dengan lebih lanjut mengenai kandungan yang tedapat dalam buku “Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya”
hasil penulisan oleh Shahroon Ahmad, ingin kami terlebih dahulu memberikan
sedikit mukadimah mengenai buku tersebut serta perkaitannya dengan kursus
Penulisan Kreatif.
Buku ini menerangkan mengenai sumber-sumber yang
diperlukan oleh seorang penulis atau sasterawan dalam menghasilkan sebuah
karya. Sumber-sumber tersebut merangkumi pengalaman, imaginasi, dan ilmu.
Ketiga-tiga sumber tersebut adalah saling memerlukan antara satu sama lain.
Tidak boleh berdiri sendiri dalam menghasilkan sebuah karya. Oleh itu, adalah
lebih baik sekiranya kami menerangkan satu demi satu fungsi bagi sumber-sumber
tersebut dalam penghasilan sebuah karya oleh penulis atau sasterawan.
Sumber yang pertama adalah sumber pengalaman. Seorang penulis atau sasterawan perlulah
mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupannya. Hal ini demikian kerana
pengalaman mampu menghasilkan pelbagai karya yang terdiri daripada pelbagai
bidang. Pengalaman diperolehi dalam kehidupan seseorang sepanjang tempoh kelangsungan
hidupnya. Maka, semakin panjang tempoh kelangsungan kehidupan, makin banyak
pengalaman yang diperolehi serta semakin luas pengalaman yang mampu digunakan
dalam menghasilkan sebuah karya. Kebiasaannya, seseorang hanya mampu memperoleh
pengalaman dalam suatu bidang yang terhad. Hal ini disebabkan oleh sumber
pengalaman mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia.
Masalah tersebut adalah had masa, iaitu tempoh kelangsungan hidup. Tiada
manusia yang dapat mencari pelbagai jenis pengalaman dari pelbagai bidang.
Misalnya, kita tidak mampu menjadi seorang pelajar, guru, pensyarah, penyanyi,
pelakon, tukang masak, nelayan, pelukis, ahli muzik, dan Perdana Menteri dalam
satu masa atau dalam sebuah kehidupan manusia. Oleh itu, pengalaman lebih
terhad kepada suatu bidang tertentu sahaja. Namum, setiap masalah mempunyai
jalan penyelesaiannya. Oleh itu, sumber kedua, iaitu sumber ilmu diperlukan bagi mengatasi masalah ini. Sekiranya
seseorang yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidangnya mati begitu sahaja,
adalah suatu pembaziran dan kerugian. Dengan adanya sumber ilmu, segala pengalaman
boleh diturunkan atau diwarisi oleh generasi yang seterusnya melalui
usaha-usaha yang gigih yang dilagangkannya. Pengalaman yang banyak serta
gabungan bidang ilmu yang luas, mampu melahirkan seorang penulis atau
sasterawan yang kreatif. Sumber ilmu ini juga penting untuk membantu seorang
penulis atau sasterawan dalam membuat perbandingan bagi menentukan
sumber-sumber penting yang diperlukan untuk dijadikan teras utama dalam
karyanya. Dengan ini, jelaslah bahawa sumber pengalaman dan ilmu mempunyai
kitaran yang memerlukan kedua-dua sumber tersebut untuk bersama dalam
menghasilkan sebuah karya. Ini dapat diungkapkan seperti sebuah telaga yang
kekeringan mata airnya apabila salah satu sumber tersebut tiada dalam
menghasilkan sebuah karya. Walau bagaimanapun, kedua-dua sumber ini dikatakan
hanyalah sumber mentah bagi seorang penulis dan sasterawan. Hal ini demikian
kerana tanpa sumber yang ketiga, iaitu sumber
imaginasi, seorang penulis atau sasterawan tidak mampu untuk berkreatif
dalam penghasilan karyanya. Namun begitu, sumber imaginasi perlu dikawal agar
tidak melahirkan karya yang penuh dengan emosional atau imaginatif sehingga
melebihi intelektual. Karya yang dikatakan bersifat akademik dikatakan lebih
berlandaskan kepada intelektual manakala seni pula lebih kepada bersifat emosi
atau imaginative. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa kedua-duanya perlu seimbang
kerana penulis atau sasterawan lebih bersifat kemanusiaan, iaitu mempunyai
intelektual, emosi, dan imaginatif. Apabila ketiga-tiga sumber ini digabungkan
akan kitarannya, maka sebuah karya yang berkualiti dan juga penulisan yang
kreatif dapat dihasilkan.
Jelaslah bahawa buku ini bakal menerangkan kepada kita
mengenai ciri-ciri atau sumber-sumber yang diperlukan oleh seorang penulis atau
sasterawan terutamanya bagi mereka yang masih baru dalam bidang penulisan. Semoga
bahagian-bahagian yang seterusnya dapat menerangkan dengan lebih lanjut
mengenai buku ini agar segala ilmu dapat dikongsi bersama serta dapat membantu
kita dalam menghasilkan sebuah penulisan yang kreatif.
No comments:
Post a Comment