Tuesday, 27 October 2015

Bab 2 : Apa Lagi Kalau Bukan Keperihalan Kemanusiaan

Bismillahirrahmanirrahim…

Entri kali ini membicarakan dan menghuraikan bab kedua dalam buku "Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya” oleh SN Dato' Haji Shahnon Ahmad, yang bertajuk “Apa Lagi Kalau Bukan Keperihalan Kemanusiaan”.

Dalam bab ini, Dato’ Shahnon Ahmad telah menghuraikan dengan jelas hubung kait antara penulisan dengan diri manusia terutamanya penulis itu sendiri. Beliau menyatakan bahawa diri manusia bermula dengan suatu keadaan yang sama untuk semua orang, iaitu secara sederhana. Kemudian keadaan tersebut mula berkembang selari dengan peredaran masa, menyebabkan pelbagai cabaran dan masalah yang perlu ditempuhi yang akhirnya terjerumus dalam keadaan keserabutan. Begitu juga dalam penulisan sesuatu karya, bermula dalam keadaan mendatar, kemudiannya berkembang dengan pelbagai konflik. Dikatakan bahawa semakin berkecamuk dengan konflik sehingga wujud unsur kesamaran atau keadaan yang tidak jelas, semakin unik sesuatu karya sastera tersebut. Masalah itu juga merupakan titik tolak bagi penulisan karya. Masalah tersebut kemudiannya boleh dileraikan dengan pelbagai cara. Kebolehan penulis untuk memilih peleraian yang baik boleh menyebabkan karya itu bertambah menarik.

Dalam menghuraikan tentang keperihalan manusia, wujud unsur pertentangan. Pertentangan biasanya wujud disebabkan percanggahan nilai disebabkan pengaruh asing. Boleh jadi pertentangan antara nilai buruk dengan nilai baik dan nilai yang setara iaitu sama ada nilai baik dengan nilai baik atau nilai buruk dengan nilai buruk. Pertentangan nilai yang berbeza adalah lebih menarik untuk dileraikan. Pertentangan atau disebut juga sebagai konflik adalah premis yang utama yang perlu dieksploitasi oleh pengarang untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Untuk mengeksploitasinya, pengarang perlu wujudkan pertentangan nilai dalam diri yang akhirnya mencetuskan kreativiti secara tidak langsung dalam karyanya. Pertentangan yang menunjukkan permasalahan manusia ini mampu menghidupkan sesuatu karya jika diolah dengan baik.

Selain itu, unsur komunikasi juga perlu wujud dalam keperihalan manusia. Melalui unsur ini, pengarang perlu bijak melahirkan dialog dan monolog yang berfungsi selaras dengan perwatakan dan ciri-ciri lain. Kadang kala, ketidakjelasan dalam sesuatu karya menambah menarik karya tersebut.  Dalam konteks ini, komunikasi yang cuba diwujudkan adalah secara samar, iaitu komunikasi hanya difahami apabila tiba di pengakhiran penulisan. Di samping itu, selain komunikasi, unsur penting lain adalah perubahan. Perubahan yang ditekankan adalah perubahan bagi watak yang ditonjolkan dalam sesuatu karya. Perwatakan boleh berubah daripada awal cerita hingga akhir cerita untuk menambah seri pada karya tersebut. Usia adalah antara salah satu perkara yang boleh menunjukkan perubahan bagi watak yang dimainkan. Hal yang demikian kerana usia mampu mencorakkan perwatakan baik dari aspek tindakan fizikal, tindakan minda, mahupun tindakan hati. Pertentangan yang terjadi antara usia dengan tindakan watak juga akan memberi kesan dalam perkembangan karya.

Satu lagi unsur yang tidak boleh dilupakan adalah latar, sama ada latar tempat atau latar masa. Latar  mampu memaknakan manusia dalam pengertian yang sebenar, kerana latar sangat mempengaruhi kehidupan manusia. Oleh itu, latar perlu berfungsi untuk menghidupkan watak-watak yang ditampilkan dan mempengaruhi perwatakannya. Untuk tujuan itu, senjata paling utama untuk menghidupkan fungsi latar tersebut adalah melalui pengolahan bahasa yang berkesan. Latar tidak boleh hanya diselitkan dalam penceritaan tanpa sebarang sandaran, tetapi harus mempungaruhi penceritaan secara keseluruhannya.

Apabila kita membicarakan soal keperihalan manusia, wajar diselitkan unsur sejarah kerana manusia juga sebahagian sejarah. Pensejarahan mempengaruhi kehidupan dan melahirkan renungan dan kenangan dalam perjalanan hidup. Maka sejarah perlu diletakkan sebagai salah satu premis penting dalam proses penciptaan karya. Sesuatu karya sangat bernilai tinggi andai wujud unsur sejarah dan sebatian dengan bukan sejarah seperti dongengan dan mitos. Pengarang perlu mengenal sejarah bagi mengenal dirinya. Tanpa mengenal diri, karya yang dihasilkan tiada jiwa dan terasa kosong. Pengarang yang buta sejarah akan mematikan daya kreativiti dalam penulisannya. Selain sejarah, detik masa depan juga agak penting. Sejarah lampau dan masa depan perlu digunakan dalam membentuk perwatakan yang baik sekaligus mampu menjadikan penceritaan bertambah kompleks.

Dalam proses penciptaan perwatakan, perlu wujud gerak hati untuk memperlihatkan kemanusiaan yang sebenar dalam diri watak. Gerak hati ini juga dapat memperluaskan teknik monolog dan aliran kesedaran dalam penciptaan. Selain gerak hati, aspek asosiasi juga penting kerana kemanusiaan sebenar berasosiasi. Aspek ini bercorak simbolik yang memanusiakan manusia seperti membicarakan soal perjuangan yang disamaertikan dengan aliran sungai yang tidak pernah putus. Asosiasi ini begitu menguji kreativiti pengarang kerana pengarang biasanya akan bermain dengan lapangan sastera yang jauh dan indah.

Penciptaan sesuatu karya sangat berkait rapat dengan manusia sendiri. Pengarang perlu mengenal unsur-unsur  diri yang mewarnai dan mencorakkan seni dalam kehidupan. Penghasilan karya yang bermutu tinggi perlu lengkap dengan pekej yang wujud secara realiti seperti pertentangan yang dipaparkan dengan baik melalui komunikasi yang berkesan dalam pelbagai latar. Sesuatu bentuk sejarah yang ditampilkan mampu menghidupkan sesuatu karya, ditambah dengan ramuan gerak hati dan asosiasi yang menghidupkan watak yang dimainkan.


Tuesday, 20 October 2015

BAB 1: FIKSYEN KONVENSIONAL, FIKSYEN NON-KONVENSIONAL

Seterusnya, kami akan mengulas dengan lebih lanjut tentang bab pertama dalam buku ini yang bertajuk "Fiksyen Konvensional, Fiksyen Non-Konvensional".

Berdasarkan hasil tulisan Dato' Haji Shahnon Ahmad dalam bab ini, beliau menceritakan dengan lebih lanjut mengenai turutan sejarah di antara fiksyen konvensional dan juga fiksyen non-konvensional. Menurut beliau, fiksyen itu sendiri merupakan pentafsiran kepada segala keperihalan manusia. Ia melibatkan jatuh bangun kehidupan manusia, dinamisme manusia, perubahan dan statiknya manusia, kebekuan dan peraliran manusia, kompleksiti, dan statiknya manusia. Secara ringkasnya, beliau ingin menyatakan bahawa fiksyen melibatkan tentang fizikal, mental, kerohanian, bahasa dan cara berkomunikasi seorang manusia dalam kehidupan seharian bersama dengan manusia yang ada di sekeliling mereka. Fiksyen mempotretkan kisah kehidupan manusia melalui penceritaan pelbagai watak dan perwatakan.

Fiksyen konvensional merupakan karya atau sastera penulisan zaman dahulu atau klasik. Sastera klasik ini merupakan karya sastera terdahulu yang lebih menekankan kepada imaginasi atau khayalan penulis tentang unsur-unsur ghaib, unsur yang tidak terlalu menekankan tentang soal agama, unsur awang-awangan, hukum hakam, adat budaya dan lain-lain lagi. Bukan itu sahaja, fiksyen konvensional juga diceritakan berdasarkan pengalaman penulis tersebut. Fiksyen klasikjuga menyampaikan mesej dan pengajaran berdasarkan karya itu sendiri. Selain itu, sastera klasik banyak menceritakan tentang kisah rakyat serta raja-raja pada zaman dahulu. Antara karya-karya penulisan sastera klasik popular yang disebut oleh beliau di dalam buku ini adalah seperti cerita Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Pak Pandir, Pak Kadok, Hikayat Malim Deman, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain lagi. Manakala, fiksyen non-konvensional merupakan sebuah karya atau cereka atau juga sastera penulisan moden yang sudah mengalami perubahan seiring zaman. Dalam karya sastera moden ini lebih menekankan kepada penceritaan watak dan perwatakan secara jelas dan terperinci. Karya moden yang terkenal pada zaman sekarang adalah berupa dalam bentuk novel ataupun cerpen (cerita pendek). Hasil karya sastera moden dihasilkan juga bertujuan untuk memberikan mesej atau pengajaran penting kepada semua pembaca. Karya moden juga turut menimbulkan unsur humour dalam penceritaannya.

Perbezaan sejarah yang ketara antara fiksyen klasik dan juga fiksyen moden adalah mengenai perbezaan masa. Sekiranya dahulu, fiksyen klasik lebih menekankan cerita rakyat dan raja-raja, zaman sekarang pula fiksyen moden menyebut tentang masyarakat dan watak perwatakan yang lebih kearah kemodenan. Kronologi sejarah perubahan daripada fiksyen klasik kepada fiksyen moden tidaklah terlalu jauh bezanya. Penulis masih lagi mengambil kira tentang aspek pembangunan kehidupan manusia sebagai jalan cerita dalam karyanya. Seterusnya, fiksyen klasik yang dahulunya menceritakan tentang aspek khayalan, dongengan atau awang-awangan sangat berbeza pula dengan fiksyen moden zaman sekarang iaitu yang lebih menekankan kepada sudut realiti kehidupan. Kurangnya imaginasi yang melampaui akal fikiran seperti yang ada dalam karya klasik terdahulu berbanding karya moden pada zaman sekarang. Kemunasabahan ditekankan oleh penulis dalam karya moden yang dihasilkan. Selain itu, aspek gaya bahasa atau tatabahasa juga merupakan perbezaan yang sangat ketara dalam kedua-dua karya fiksyen tersebut. Karya klasik tidak menekankan aspek gaya bahasa dan tatabahasa disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan penulis zaman klasik tentang aspek tersebut. Pada zaman sekarang, aspek bahasa dan tatabahasa tersebut sangat penting bagi memartabatkan bahasa yang sedia ada berdasarkan ilmu yang telah dipelajari oleh penulis itu sendiri.

Dato' Haji Shahnon Ahmad juga menekankan tentang peranan pengarang atau penulis dalam menghasilkan karya yang lebih bermutu iaitu dengan menimba ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin supaya idea-idea atau ilmu pengetahuan yang diperolehi tersebut dapat dicurahkan ke dalam hasil karya yang berkualiti. Beliau mengkritik tentang tahap ilmu penulis karya fiksyen konvensional terdahulu yang tidak mempunyai ilmu yang mencukupi semasa menghasilkan sesuatu karya lalu telah menghasilkan karya yang tidak berkualiti. Beliau juga mengkritik akan sikap penulis atau pengarang zaman moden yang lebih menekankan kepada aspek penonjolan cita-cita dan idealisme pengarang itu sendiri tanpa mengambil kira akan aspek pengalaman kehidupan manusia yang lainnya. Bukan sekadar kritikan, beliau turut memuji akan sikap penulis moden yang berani membuat eksperimen untuk menghasilkan karya yang kreatif dan unik serta terus berkembang dan tidak statik. Di dalam buku ini juga, beliau turut menyebut tentang kesamaran gaya penulisan moden yang tidak menekankan tentang pelbagai aspek penceritaan dalam karya kreatif seperti aspek penceritaan latar yang tidak mempunyai turutan, penceritaan tentang masyarakat telah diperkecilkan, dan juga banyak peristiwa yang lebih terarah kepada antiplot, antiwira, antilatar dan juga antikisah. Maka, penulis atau pengarang yang ingin menulis atau menerbitkan sesuatu hasil karya harus menimbang atau mengambil berat akan aspek-aspek yang disebut oleh Dato' Haji Shahnon Ahmad tersebut supaya hasil penulisan kreatif yang diterbitkan tersebut lebih berkualiti, memberi manfaat serta dapat menjadi contoh kepada pengkarya-pengkarya yang lain.

Kesimpulannya, bab ini memberikan input atau pengetahuan kepada kita tentang turutan sejarah dan perbezaan di antara karya fiksyen konvensional (klasik) dan juga fiksyen non-konvensional (moden) kepada pembaca atau pengarang yang ingin menghasilkan sebuah penulisan yang kreatif.


Tuesday, 6 October 2015

PENDAHULUAN




Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Sebelum kami meneliti dengan lebih lanjut mengenai kandungan yang tedapat dalam buku “Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya” hasil penulisan oleh Shahroon Ahmad, ingin kami terlebih dahulu memberikan sedikit mukadimah mengenai buku tersebut serta perkaitannya dengan kursus Penulisan Kreatif.

Buku ini menerangkan mengenai sumber-sumber yang diperlukan oleh seorang penulis atau sasterawan dalam menghasilkan sebuah karya. Sumber-sumber tersebut merangkumi pengalaman, imaginasi, dan ilmu. Ketiga-tiga sumber tersebut adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak boleh berdiri sendiri dalam menghasilkan sebuah karya. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kami menerangkan satu demi satu fungsi bagi sumber-sumber tersebut dalam penghasilan sebuah karya oleh penulis atau sasterawan.

Sumber yang pertama adalah sumber pengalaman. Seorang penulis atau sasterawan perlulah mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupannya. Hal ini demikian kerana pengalaman mampu menghasilkan pelbagai karya yang terdiri daripada pelbagai bidang. Pengalaman diperolehi dalam kehidupan seseorang sepanjang tempoh kelangsungan hidupnya. Maka, semakin panjang tempoh kelangsungan kehidupan, makin banyak pengalaman yang diperolehi serta semakin luas pengalaman yang mampu digunakan dalam menghasilkan sebuah karya. Kebiasaannya, seseorang hanya mampu memperoleh pengalaman dalam suatu bidang yang terhad. Hal ini disebabkan oleh sumber pengalaman mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia. Masalah tersebut adalah had masa, iaitu tempoh kelangsungan hidup. Tiada manusia yang dapat mencari pelbagai jenis pengalaman dari pelbagai bidang. Misalnya, kita tidak mampu menjadi seorang pelajar, guru, pensyarah, penyanyi, pelakon, tukang masak, nelayan, pelukis, ahli muzik, dan Perdana Menteri dalam satu masa atau dalam sebuah kehidupan manusia. Oleh itu, pengalaman lebih terhad kepada suatu bidang tertentu sahaja. Namum, setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. Oleh itu, sumber kedua, iaitu sumber ilmu diperlukan bagi mengatasi masalah ini. Sekiranya seseorang yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidangnya mati begitu sahaja, adalah suatu pembaziran dan kerugian. Dengan adanya sumber ilmu, segala pengalaman boleh diturunkan atau diwarisi oleh generasi yang seterusnya melalui usaha-usaha yang gigih yang dilagangkannya. Pengalaman yang banyak serta gabungan bidang ilmu yang luas, mampu melahirkan seorang penulis atau sasterawan yang kreatif. Sumber ilmu ini juga penting untuk membantu seorang penulis atau sasterawan dalam membuat perbandingan bagi menentukan sumber-sumber penting yang diperlukan untuk dijadikan teras utama dalam karyanya. Dengan ini, jelaslah bahawa sumber pengalaman dan ilmu mempunyai kitaran yang memerlukan kedua-dua sumber tersebut untuk bersama dalam menghasilkan sebuah karya. Ini dapat diungkapkan seperti sebuah telaga yang kekeringan mata airnya apabila salah satu sumber tersebut tiada dalam menghasilkan sebuah karya. Walau bagaimanapun, kedua-dua sumber ini dikatakan hanyalah sumber mentah bagi seorang penulis dan sasterawan. Hal ini demikian kerana tanpa sumber yang ketiga, iaitu sumber imaginasi, seorang penulis atau sasterawan tidak mampu untuk berkreatif dalam penghasilan karyanya. Namun begitu, sumber imaginasi perlu dikawal agar tidak melahirkan karya yang penuh dengan emosional atau imaginatif sehingga melebihi intelektual. Karya yang dikatakan bersifat akademik dikatakan lebih berlandaskan kepada intelektual manakala seni pula lebih kepada bersifat emosi atau imaginative. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa kedua-duanya perlu seimbang kerana penulis atau sasterawan lebih bersifat kemanusiaan, iaitu mempunyai intelektual, emosi, dan imaginatif. Apabila ketiga-tiga sumber ini digabungkan akan kitarannya, maka sebuah karya yang berkualiti dan juga penulisan yang kreatif dapat dihasilkan. 

Jelaslah bahawa buku ini bakal menerangkan kepada kita mengenai ciri-ciri atau sumber-sumber yang diperlukan oleh seorang penulis atau sasterawan terutamanya bagi mereka yang masih baru dalam bidang penulisan. Semoga bahagian-bahagian yang seterusnya dapat menerangkan dengan lebih lanjut mengenai buku ini agar segala ilmu dapat dikongsi bersama serta dapat membantu kita dalam menghasilkan sebuah penulisan yang kreatif.

DATO' HAJI SHAHNON BIN AHMAD

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Kami dari kumpulan Kuasa Tinta telah memilih sebuah buku sastera yang berjudul "Sastera: Pengalaman Ilmu Imaginasi dan Kitarannya" hasil penulisan sasterawan negara, iaitu Shahnon Ahmad. Sebelum kami meneliti buku ini dengan lebih lanjut, adalah lebih afdal sekiranya kami memperkenalkan terlebih dahulu serba-sedikit mengenai biodata penulis bagi buku ini.


Nama penuh beliau ialah Dato' Haji Shahnon Bin Ahmad. Beliau telah dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Beliau telah menerima pendidikan awal di sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah V dalam tahun 1946. Kemudian, beliau menyambung pelajarannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar sehingga lulus Sijil Persekolahan.Beliau telah mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun sahaja, beliau telah muncul sebagai seorang penulis yang mempunyai bakat yang besar. Sejak tahun 1956 lagi, beliau sudah mula terkenal dengan penulisannya yang berbentuk cerpen, esei, dan juga kritikan. Antara novel pertama beliau ialah novel yang berjudul Rentong pada tahun 1965 yang merupakan sebuah novel Shahnon Ahmad yang amat jelas menunjukkan bakatnya yang besar sebagai novelis. Pada tahun 1975, Shahnon Ahmad telah diberi kepercayaan sebagai anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan diberi gelaran sebagai "Pejuang Sastera" oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada tahun 1976. Beliau turut menerima Anugerah Sastera Negara daripada pihak kerajaan pada tahun 1982. Malah, beliau turut menerima Panel Hakim Hadiah Karya Sastera pada tahun 1983. Shahnon Ahmad telah menerima darjah Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa kepada gelaran `Datuk’ daripada Sultan Kedah pada tahun 1980 dan kemudian beliau menerima darjah Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993.