Wednesday, 2 December 2015

BAB 13: APABILA KITA BERTEMU



Apabila sasterawan bertemu, persoalan yang timbul ialah berkaitan dengan kehalusan dan wawasan kesasterawanannya tentang ketajaman dan ketumpulan daya kreativiti, daya sensitiviti dan daya persepsinya tentang sumber inspirasi dan kaedah organisasi inspirasi itu, tentang teks yang direka dalam peribadi novel, puisi, cerpen dan dramanya. Kesasterawanan tidak sesempit persoalan tersebut malahan melangkau batasan makna yang lebh luas dan lebih bersifat sejagat. Manusia dan kemanusiaan sekarang di mana-mana pun semakin terhakis.
            Sasterawan apabila bertemu dan berdialog, topik yang diceritakan adalah sikap manusia yang sudah kehilangan panduan dan arah. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab sasterawan untuk memartabatkan kemanusiaan selaras dengan fitrahnya. Melalui kegelisahan luaran dan dalaman sasterawan, lahirnya karya agung yang benar-benar bermakna. Karya-karya tersebut tumbuh dan bertembung dalam bentuk novel,cerpen,puisi dan drama yang memperlihatkan inti dan serpihan kemanusiaan dengan segala liku kerahsiaannya dengan segala kehalusan seninya. Lebih unik lagi apabila sasterawan dan budayawan Utara Semenanjung dan Utara Sumatera bertemu dalam perhimpunan Dialog Utara V yang mempunyai cita- cita dan wawasan.
            Selain itu, hal yang menemukan sasterawan Utara Malaysia dengan sasterawan Utara Sumatera ialah teks atau karya. Pertemuan mereka juga menuntut beberapa keperluan. Keperluan pertama sudah tentu tentang kemudahan pengaliran teks dua hala manakala keperluan kedua sama pentingnya terletak pada pundak sasterawan kedua-kedua belah pihak, iaitu aspek teks. Pertemuan tersebut juga merupakan takah pendisiplinan diri seperti mengubah diri, akal dan hati nurani daripada yang berperibadi sepintas lalu kepada peribadi intelektual. Gaya bahasa juga menjadi faktor penting dalam pertemuan dengan teks.
            Sasterawan mengharapkan kesusasteraan melui cereka dan puisi menjurus keutamaan kepada penerokaan kemnusiaan untuk mempertingkatkan kemanusiaan, bukan yang meminggirkan atau menjangkau di luar kemanusiaan seperti yang rancak diperkembangkan di dunia Barat. Sasterawan juga tidak mengharapkan cereka atau puisi yang sehala sifatnya yang hanya meninggalkan kesan yang pasif, yang negatif, yang destruktif dan yang bersifat lemah.
            Untuk memanfaatkan wawasan dan cabaran yang bakal dihadapi, Wawasan 2020 adalah satu cabaran yang perlu dilakukan. Pertama, perpaduan. Kedua, keyakinan kepada diri sendiri. Ketiga, kematangan kedemokrasian. Keempat, masyarakat perlu bermoral, dan juga berlandaskan kekayaan nilai murni. Kelima, perlu bertoleransi, liberal dan matang. Keenam, perlu selalu bersikap progresif dan saintifik. Ketujuh, budaya yang menyayangi dan disayangi. Kelapan, keadilan yang jelas maknanya dam yang terakhir iaitu bersikap dinamik, teguh, kuat, tegas dan periang.

BAB 12: SASTERA UNTUK MEMBANGUNKAN MENTAL BANGSA



Sumber dan tujuan kesusateraan sebagai salah satu cabang kesenian masih dipertikaikan. Perkembangan dan pertikaian tentang segala aspek keperihalan kesusasteraan sebenarnya perkembangan ilmu yang memperlihatkan kegigihan dan keupayaan manusia meneroka dan mencari rahsia cabang kesenian untuk memberi sumbangan kepada peningkatan dan kemantapan manusia.
            Memang benar bahawa kesusasteraan adalah sejenis hiburan tetapi ianya adalah hiburan yang bermakna yang menjurus kepada peningkatan manusia. Robert Frost berkata bahawa kesusasteraan bermula dengan hiburan tetapi terarah kepada kebijaksanaan. Secara indah dan berkesan, kesusasteraan yang baik membijaksanakan manusia dalam segala tindakannya.
            Mengikut Syahkh Fadhlalla Haeri, mimda manusia dilihat dari segi komunikasi adalah pengaliran pemikiran. Kesusasteraan yang sebenar sebagai cabang kesenian yang sebenar seharusnya perlu mengisi hati manusia dengan pemikiran secara indahberseni dan berkesan supaya hati yang bermakna akan mengarah minda untuk melakukan tindakan yang bermakna.
            Sastera membangunkan mental bangsa,iaitu kesusasteraan sebagai salah satu kegiatan manusia untuk mengisi hati manusia agar hati terisi dengan pemikiran yang bermakna dan mengalirkan makna yang sebenar kepada mental individu, masyarakat atau bangsa.
            Pencipta atau pengarangnya bertanggungjawab atas segala daya kreativitinya dengan melahirkan karya yang bermakna yang turut memberi sumbangan ilmu untuk membangunkan kemanusiaan. Ketidakjelasan dan kekaburan akan melahirkan karya yang tidak bertanggungjawab, karya yang using serta picisan nilainya. Pengarang yang benar-benar bertanggungjawab akan terus meneliti daya kreativitinya supaya meninggalkn kesan rasa ketenteraman hidup dalam perjuangan menegakkan kebenaran, dan membangunkan mental manusia.
            Aspek pembaca dalam hubungannya dengan teks juga amat penting.Kemesraan antara pembaca dan pengarang bergantung pada teks. Teks yang lahir daripada pengarang yang brtanggungjawab akan membangunkan pembaca sekali gus membangunkan daya fikir untuk mengahadapi kehidupan dengan segala liku-likunya.
            Oleh itu jangan samakan negara kita dengan negara Barat dalam membangunkan kesusasteraan. Malaysia menggunakan sastera sebagai pembangunan mental bangsa tetapi di Barat menganggap sastera mengungkap sesuatu di luar kemanusiaan. Hanya pengaranglah yang memaksikan  kemanusiaan dalam kesusasteraan yang bermakna serta melandaskan ilmu bukan sahaja pengalaman dan akal.

BAB 11 : DARI SINI HENDAK KE MANA?

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Dalam entri ini mengisahkan mengenai karya dan sasterawan Melayu sejak dahulu sehingga kini. Karya Shahnon Ahmad ini terbahagi kepada tujuh bab. Dalam bab yang pertama, beliau telah memberi satu analogi mengenai di mana kesusasteraan Melayu kita kini. Manakala dalam bab II, beliau memberi definisi mengenai masa depan. Masa depan adalah detik yang cukup mencabar kerana keperihalan manusia dan penyajian keperihalan manusia sebagai sebuah karya sastera semakin kompleks dan kacau. Kemajuan ilmu natijah daripada daya fikir manusia dengan keghairahan daya kreatif yang selaras dengan kompleksiti kesusasteraan memerlukan kita melakukan perubahan untuk menyambung rasa seni yang bersepadu berlandaskan persepsi pancaindera sesuai dengan realisme dan idealisme bertunjangkan kebenaran, kebaikan dan keindahan yang hakiki. Tetapi kalau kita sebagai sasterawan yang hanya seronok untuk berdaun, maka kita hanya berkembang untuk berkembang sahaja tanpa sebarang pembangunan. Perkembangan kesusasteraan kita hanya punah dengan sifat kebosanan dan stereotaip. Seharusnya, semasa kita membicarakan mengenai masa depan kesusasteraan kita, kita optimistic. Ertinya kita bukan sekadar rajin berdaun, berbunga dan berbuah, malah merasai nikmat seni buah dan nikmat rasa seni penyajian buah.

Lingkarannya tentang manusia dan kemanusiaan berputar pada gerakan fizikal, kepada tindak tanduk luaran, pada bunyi kata dan ungkapan semata-mata. Penyajiannnya asyik kembali kepada penghikayatan dan penglipurlaraan dengan di sana sini diberinya bumbu-bumbu baru yang tidak berperanan. Alurnya pula bukan sahaja tidak erat dan kompak malah penanjakan dan penurunannya penuh dengan kejutan. Paling majal ialah penyajian perutusan ala dakwah yang begitu ketara dan langsung. Selain itu, kelangsungan dan ketaraan perutusan disaji secara mentah dan sehingga tidak lagi dibaluti oleh kehalusan gaya bahasa yang sekali gus memadukan keindahan dan kemanfaatan dalam perutusan. Dalam kesusasteraan mutakhir kita, ternyata tidak terdapat banyak variasi selaras dengan variasi kompleksiti manusia. Paradigmanya tidak selari dengan pola perkembangan insan,

Kitsch”nya sebahagian besar karya sasterawan kita juga berpunca daripada keterlaluan mereka hendak berabstraksi sehingga morality, pemikiran, renungan tetap tinggal abstraksi tanpa diungkapkan secara kreatif demi penjernihan melalui kepelbagaian cirri penciptaan khususnya melalui perwatakan dan alur. Terdapat karya yang bersifat sinemaskopik yakni yang meluahkan banyak hal, sehingga segala-galanya Cuma tiba pada tahap pencecahan sambil lewa semata-mata.

Beralih pula dalam bab III. Bab ini dimulakan dengan perbandingan dari satu kutub yang lain, iaitu terdapat sasterawan kita yang begitu mudah mengorak langkah yang lain daripada yang lain sehingga mereka terbabas daripada landasan realisme dan idealisme serta kewarnaan setempat. Pencelahan aliran adalah sesuatu yang baik bagi mematangkan kesusasteraan kita. Kemabukan kita dengan bumbu yang disaji oleh tokoh ini memang dibolehkan, tetapi kita janganlah tergesa-gesa. Hanya melalui penyajian, aspek jungkir balik benar-benar dimanipulasikan termasuk arus kesedaran “shifting time sequences dan alternating points of view”.

Dalam bab IV, menerangkan mengenai apakah jawapan terhadap ke mana kesusasteraan kita? Jawapannya agak sukar kerana revolusi ini adalah revolusi sebatang kara. Tetapi aspek kejungkirbalikan yang emmaknakan modenisme, kepelikan dan keluarbiasaan ini sangat mudah memabukkan anak mudayang tidak ambil kisah dalam sesuatu yang serius. Sasterawan dunia luar yang juga pemikir meninggalkan sajian yang jungkir balik dan berusaha kembali kepada asal, sedangkan kita masih cuba menenggelamkan diri dalam kancah yang haruk-pikuk dan acak-acakan.

Menurut sasterawan negara, Shahnon Ahmad dalam bab V “Dari sini hendak ke mana?”, beliau menyatakan bahawa sejarah moden pada kala ini merupakan sebuah garapan sejarah tentang kesedaran manusia tentang diri, tradisi, masyarakat, dan juga ikatan murni yang berkaitrapat dengan keagamaan dengan peradaban. Jika dahulu, perjalanan sejarah sastera seni memperlihatkan hubungan yang kukuh dengan masyarakat yang bermaksud penciptaan hasil karya sastera seni mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. Namun, seiring dengan perubahan zaman hubungan tersebut semakin pudar dan kabur disebabkan oleh pengaruh modenisma yang dianggap sebagai fesyen menurut pendapat Shahnon Ahmad itu sendiri. Penulis atau pengkarya seni terperangkap dan terikut-ikut dengan arus kemodenan iaitu dengan mengamalkan konsep non-rasional dalam menghasilkan sesuatu karya sehinggalah mengabaikan hubungan dan kemesraan karya dengan masyarakat. Jumlah khalayak atau pembaca yang semakin kecil dan berkurang menyebabkan penulis atau pengkarya terpaksa mentafsir dan menganalisis hasil karyanya sendiri untuk memenuhi kefahahaman khalayak sama ada khalayak atau audiens dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh pengkarya tersebut atau sebaliknya. Hal ini sangat berkaitrapat dengan perkembangan aliran surealisme yang menekankan konsep kebebasan mutlak atau seni yang melampaui fikiran atau logik akal (non-rasional) yang juga turut dikenali sebagai seni berimaginasi. Karya yang mengikut aliran surealisme tersebut hanya boleh difahami oleh pengkarya yang menghasilkan karya itu sendiri sahaja dan amatlah sukar untuk khalayak atau audiens untuk memahami atau menafsirkan karya aliran tersebut. Shahnon Ahmad menganggap bahawa karya-karya tersebut telah mematikan faktor kemasyarakatan atau pembinaan tamadun dan telah menimbulkan soalan pada penghujung bab ini yang berbunyi, “...hendak kemanakah kesusasteraan kita?”.

            Seterusnya, dalam bab VI pula, Shahnon Ahmad telah menceritakan tentang karya kesusasteraan di Indonesia yang dianggap telah semakin jauh dengan masyarakat dek akibat terpengaruh dengan modenisma ataupun karya barat. Shahnon Ahmad juga telah mempersoalkan peranan sasterawan pada masa ini yang dianggap ibarat telah melupakan bumi yang dipijak. Dalam bab ini juga, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama penulis atau pengkarya daripada negara Indonesia tersebut mengenai soal karya modenisma tersebut.

             Selain itu, dalam bab VII, beliau iaitu Shahnon Ahmad telah menekankan konsep 3K (kebenaran, kebaikan dan keindahan). Menurut beliau, konsep 3K tersebut sangat sesuai diamalkan seiring dengan perubahan dalam penghasilan karya seni seiring zaman. Perubahan yang dilakukan dalam penghasilan karya seni bukanlah dianggap tidak baik, namun jika perubahan tersebut berlandaskan konsep 3K tersebut, maka perubahan yang berlaku adalah satu perubahan yang baik. Nilai estetika yang diperolehi melalui penekanan konsep 3K tersebut sangatlah bagus. Nilai estetika yang dimaksudkan di sini adalah keperihalan kesan seni berlandaskan persepsi hasrat pancaindera dan persepsi hasrat jiwa. Menurut pendapat beliau, seorang sasterawan yang cemerlang perlu mengambil kira nilai estetika dalam karya mereka dan bukan sahaja hanya mementingkan salah satu persepsi sahaja. Namun, karya kesusasteraan pada kala ini tidak menekankan perkara ini dan lebih menekankan kepada persepsi pancaindera berbanding persepsi hasrat jiwa yang mempunyai kesan mendalam kepada audiens atau khalayak. Shahnon Ahmad juga telah memetik kata-kata daripada Budi Darma yang berbunyi, “...bahawa sasterawan perlu menjadi pemikir dahulu sebelum mengarang, bukannya terus mengarang kemudian menjadi pemikir.” Budi Darma memaksudkan bahawa dalam menghasilkan karya yang berkualiti, sasterawan haruslah terlebih dahulu berfikir dengan lebih jauh dan secara matang iaitu dengan menekankan konsep 3K dan juga nilai estetika dalam karyanya. Beliau, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama sasterawan yang menekankan kesemua konsep karya yang berkualiti. Antaranya adalah Usman Awang, A. Samad Said, Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan lain-lain lagi. Secara kesimpulannya, beliau menyatakan hasratnya kepada pengkarya-pengkarya baru dan juga bakal pelapis sasterawan supaya dapat melonjakkan kesusasteraan ke tahap yang lebih cemerlang.

Thursday, 19 November 2015

BAB 10 : KESUSASTERAAN YANG BERILMU


Mengenai keperihalan kesusasteraan, ia semestinya berkaitan dengan teorinya, teori kritikannya, teori proses kreatifnya dan juga aspek sejarahnya. Di Barat, kesusasteraan adalah perkara yang bertitik tolak daripada tradisi falsafahnya yang memperjelaskan pandangan dunia serta pengalaman yang berasaskan konsep kebebasan. Perkembangan teori sastera dan teori kritikan sastera di Barat wujud apabila adanya teori Platonik dengan konteks luarannya sehinggalah ke hari ini. Di Amerika, pengalaman, akal, serta pengetahuan terhasil daripada teori sastera Marxisme. Aliran ini lahir pada zaman dahulu kerana ia pernah menjadi inti kesusasteraan di Barat dan dianggap terlalu moralistik. Sejarah keperihalan kesusasteraan Di Barat adalah peristiwa yang pinggir-meminggir tanpa ada kesudahannya.Ia juga terhasil daripada pengetahuan yang bersumberkan kebebasan pengalaman dan akal seperti Destructive, Hermeneutics, dan lain-lain.  Keruntuhan demi keruntuhan kepada dasar dan teori kesusasteraan memperlihatkan pola kesusasteraan iaitu keinsanan. Teori kesusasteraan yang wujud pada hari ini adalah dalam keadaan kekosongan keinsanan iaitu kehidupan yang dipinggirkan.

Pengetahuan yang bertitik tolak daripada daripada pengalaman serta akal mulai menyerap dalam kesusasteraan nasional kita. Namun demikian, keperihalan tempat dimana wujudnya kesusasteraan moden kita begitu rapuh sehinggakan kita masih ragu-ragu untuk mengenalpasti arah dan tujuan kita. Disebabkan ketidakpastian inilah yang memudahkan kita terjebak dalam perangkap modenisme yang terhasil daripada ilmu yang berlandaskan pengalaman dan akal yang nisbi. Kita sebenarnya tidak berlandaskan ilmu yang sebenar iaitu ilmu wahyu. Oleh sebab itulah, keadaan kita sekarang lebih kepada kurangnya aspek kerohanian dan keimanan. Tambahan pula, dari perspektif aliran modenisme zaman kini, faktor-faktor dan kerahsiaan keinsanan dalam hubungan dengan Kebenaran Hakiki tidak diperhitungkan lagi. Ia juga merupakan faktor yang menghalang perkembangan ilmu. Apabila kita membicarakan kesusasteraan sebagai ilmu dalam maknanya yang sebenar dan bukan sebagai ilmu daripada pemikiran modenisme, kita haruslah berbalik kepada persoalam pokoknya iaitu soal asas dalam kegiatan manusia mengenai kelalaian manusia itu sendiri. Insan yang berilmu adalah individu yang bertanggungjawab terhadap tingkah laku yang digerakkan oleh sifat ketuhanan.

Selain itu, kesusasteraan yang unggul adalah kesusasteraan yang berilmu. Hal ini kerana kesusasteraan yang lahir daripada insan yang berilmu yang dijiwai oleh wahyu iaitu ilmu yang diberi oleh Tuhan untuk memperoleh al-falaah.  Ia disepadukan dengan pengetahuan  yang dicari dan diteroka melalui pengalaman dan akal. Kesusasteraan yang baik adalah tidak hanya bergantung kepada era modenisme dan pascamodenisme, malah ia berfungsi untuk memperjuangkan ilmu. Disamping itu, fungsi kesusasteraan yang berilmu juga membantu kita memahami perasaan insan yang lain, memahami detik emosi yang sering berubah-ubah serta membantu menemui kebenaran yang mutlak. Kesusasteraan yang berilmu ini bukan sahaja permainan minda, malah ia membijaksanakan kita. Ia juga mengesahkan ksesusasteraan yang saintifik yang menjelaskan matlamat yang sahih dan menempatkan insan ke dasar yang sebenar. Sebab itulah juga para sasterawan haruslah menjadi pemikir yang bijak dan benar-benar berilmu dalam pengalaman dan akal yang disahkan oleh wahyu melalui karya yang dihasilkan untuk mematangkan kita tentang kehidupan yang sebenar.

Kesusasteraan yang berilmu telah menjadi dasar dalam kesusasteraan kita. Kesusasteraan ini lain daripada yang lain terutamanya kepada mereka yang berilmu untuk menunjangkan kehidupan. Namun demikian, terdapat juga golongan yang menentang kesusasteraan ini seperti suara daripada Miazrahizal Abdul Ghani dalam karya pendeknya iaitu “Teori Kritikan Mutakhir: Ramai Yang Bimbang?” Beliau meyimpulkan bahawa terdapat juga dakwaan golongan anti-teori moden yang menghubungkan kerja kritikan dengan peningkatan iman. Tetapi, kritikan dengan menggunakan teori moden adalah gagal dalam mendekatkan diri antara para penulis dengan sasterawan sehingga wujudnya kekaburan. Jikalau teori spontan ini wujud daripada pengalaman dan akal yag relatif serta tidak daripada sumber yang mutlak, pati sahaja keimanan mereka dipersoalkan. Erti kesusasteraan perlu diperjelaskan iaitu paksi utama kesusasteraan adalah manusia yakni baik sasterwannya, pembaca perlulah mengenal manusia dengan bersumberkan pengalaman dan akal yang mutlak. Jikalau makna kesusasteraan difahami dengan sedalamnya, pastinya persoalan tidak akan wujud dalam khalayak.

Dengan adanya kefahaman tentang kesusasteraan, pengetahuan yang dicari dan ilmu yang diberikan akan nampak dimana kedudukan kita yang sebenar. Ilmu yang ada akan menyakinkan diri kita dan diselarikan dengan kegiatan yang sahih. Namun demikian, kita yang berilmu apabila menerima kenyataan bahawa kesusasteraan yang berilmu ini adalah kesusasteraan yang benar-benar mempunyai makna dan indah. Walupun pelbagai cabaran yang datang, kita masih tetap dengan keperibadian kita sendiri.

 

BAB 9 : PROSES KREATIF : KESEGALAANNYA BERPUSATKAN INSAN

Assalammualaikum dan salam sejahtera , pada kali ini kami akan berkongsi tentang entri yang berkaitan dengan insan dalam menghasilkan karya serta sebagai pembaca.



           Proses kreatif merupakan sesuatu tindakan yang berlaku terhadap seseorang individu sama ada secara sedar atau pun tidak sedar. Segala ciptaan karya sastera yang terdiri daripada pelbagai genre atau keperihalan merupakan anugerah Tuhan kepada insan. Insan merupakan pihak yang bertanggungjawab atas segala tingkah laku yang dicipta olehnya sendiri. Pencipta , insan dan pembaca merupakan kategori insan yang berperanan terhadap sesebuah karya sastera. Insan merupakan pihak yang keperihalannya dijadikan bahan ciptaan manakala pembaca ialah pihak yang akan menilai hasil ciptaan yang ditulis. Insan tidak akan terlepas daripada landasan pokok iaitu segala keperihalannya sebagai pengarang , bahan pengarang dan pembaca yang akan menilai sendiri hasil pengarang tersebut. Pengarang haruslah menyedari hakikat bahawa mereka ialah hamba Allah.

            Proses kreatif haruslah bermula daripada kefahaman dan keyakinan tentang hakikat insan yang terdiri daripada aspek pengertian , kejadian , kedudukan , kesucian , martabat dan sebagainya. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak memberi keinsafan kepada pengarang supaya mereka sentiasa bertanggungjawab terhadap karya ciptaan. Selain itu ,  sasterawan yang pemikir akan menyediakan matlamat berkarya , bahan berkarya dan jenis karya yang akan disedekahkan kepada pembaca. Sasterawan haruslah memahami hubungan antaranya dengan Allah seperti mana perjanjiannya dengan Allah sewaktu dalam roh iaitu pengakuan bahawa Allah adalah Tuhannya. Sasterawan juga diingatkan supaya membersihkan diri dengan amalan yang diwajibkan serta menjauhkan diri daripada bergelumang dengan kekotoran kerana dikhuatiri dia akan menghasilkan karya yang tidak bertanggungjawab. Dalam erti kata lain , sasterawan perlu melahirkan akhlak  yang mulia dan mencorakkan karya sastera dan bukan sebaliknya.

            Setelah melalui beberapa proses mengenal diri sendiri dan memperolehi pengalaman , pengarang kebiasaannya akan menerima ilham yang menjadi dasar pengolahan karyanya. Sesuatu dasar boleh diperbaiki melalui perwatakan yang memperlihatkan keinsafan serta mempunyai beberapa perkembangan watak melalui pelbagai plot penceritaan. Komunikasi sesuatu watak boleh wujud melalui dua dimensi, merangkumi tiga entiti yang saling berinteraksi iaitu dirinya , alamnya dan Tuhannya. Selain itu , pengarang yang baik akan membangunkan tiga kesan pokok dalam sasteranya iaitu kesan kewiraan , kesan tarbiyah dan kesan mistik manakala pengarang yang tidak mengenal dirinya sebagai insan akan mewujudkan kesan-kesan martabat rendah.

          Seterusnya ialah mengenai karya sastera yang mana keperihalan sastera merupakan dasar kesusasteraan serta merujuk kepada insan yang berbahasa , berfalsafah , berlatar dan juga berplot. Jika sesuatu karya semakin jauh mengembara ke dalam lubuk keinsanan melalui sastera , semakin sulit bagi pembaca menemui makna saranan. Aspek-aspek yang dieksploitkan oleh pengarang dalam proses kreatifnya ialah aspek insan bermasalah , aspek insan berkomunikasi , aspek mimpi insan , aspek insan yang berfuturistik dan aspek ketidakwarasan insan. Sekiranya berlaku kehakisan asosiasi dalam sesuatu penceritaan maka terhakislah segala makna dalaman keinsanan dalam hubungan dengan alam . Apabila sesuatu proses kreatif melahirkan cereka yang besar dan latar kadang kala diperlukan bagi mengaitkannya dengan kehidupan insan yang diolah melalui seni.

Selain itu , saluran sastera adalah bahasa dan merupakan insan berbahasa. Meskipun aspek mengenai sastera dilupakan oleh banyak pengarang tetapi masih terdapat semacam aliran yang berusaha untuk memartabatkan bahasa sebagai makna kesusasteraan selengkapnya. Kepekaan , naluri dan pengalaman sasterawan berkaitan dengan insan akan menambahkan lagi kejernihan segala keperihalan sebagai bahan proses kreatif. Namun begitu , sasterawan mengalami tekanan akibat daripada tindakan-tindakan insan yang bertentangan dengan sifat ketuhanan.Sebagai contoh , tekanan yang wujud dalam ilham novel  Patriarch dan tekanan ini mencabar sensitiviti walaupun novel ini belum wujud secara fizikalnya tetapi telah lama memperlihatkan bentuk “di dalam”.
 

Patriarch mendukung makna ketua atau kepala keluarga tetapi jika mengikut asosiasinya lebih menyarankan makna pemimpin negara. Novel ini lebih merujuk kepada pergolakan politik tanah air yang bermula semenjak pencapaian kemerdekaan hingga sekarang. Pelbagai perkara yang berlaku hingga menyebabkan Patriarch mati akibat serangan jantung susulan daripada rakyat patriotik yang mendoakan kematiannya. Perkembangan cerita ini diproses secara tersirat dan tiada kesatuan dalam komposisi serta terasa jalinan kisah yang terpisah-pisah. Tambahan pula, menurut novel tersebut , jika kepimpinan lebih kepada kegilaan pada kuasa , kemasyuran dan kemewahan , maka akan menyebabkan tekanan serta keradangan rakyat jelata.

            Seterusnya adalah berkaitan dengan kedudukan karya (teks) dalam hubungannya dengan insan pembaca yang bertolak daripada hubungan antara insan sastera dengan insan pembaca. Hubungan ini dijalinkan oleh teks dan segala keperihalannya. Membaca dan memahami teks adalah proses memasuki dan meneroka pengalaman insan , menganalisis dan menilai segala keperihalannya. Teks adalah pengalaman insan yang diproses oleh sasterawan dengan penuh tanggungjawab , penuh dengan saranan dan cabaran untuk dialami dan difahami oleh pembaca. Pembaca juga perlu melalui proses kreatifnya yang tersediri melalui tindakan menganalisis saranan yang diperlihatkan oleh sasterawan melalui perwatakannya. Sasterawan mendapat pengalaman berasaskan renungan , analisis dan penilaian pembaca.

            Kesimpulannya , sekiranya sasterawan yangmengenal diri mereka sebagai insan atau hamba Allah , maka mereka akan menghasilkan karya yang bermutu ditambah pula dengan pengalaman dalam hidup dan hasil pembacaan. Perkara yang sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka tidak menghargai diri mereka dan karya yang tidak bermanfaat akan dibaca oleh pembaca. Sehubungan itu , sasterawan perlu mengambil kira tentang insan , pembaca serta bahan yang mereka akan gunakan untuk menghasilkan karya.