Wednesday, 2 December 2015

BAB 11 : DARI SINI HENDAK KE MANA?

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Dalam entri ini mengisahkan mengenai karya dan sasterawan Melayu sejak dahulu sehingga kini. Karya Shahnon Ahmad ini terbahagi kepada tujuh bab. Dalam bab yang pertama, beliau telah memberi satu analogi mengenai di mana kesusasteraan Melayu kita kini. Manakala dalam bab II, beliau memberi definisi mengenai masa depan. Masa depan adalah detik yang cukup mencabar kerana keperihalan manusia dan penyajian keperihalan manusia sebagai sebuah karya sastera semakin kompleks dan kacau. Kemajuan ilmu natijah daripada daya fikir manusia dengan keghairahan daya kreatif yang selaras dengan kompleksiti kesusasteraan memerlukan kita melakukan perubahan untuk menyambung rasa seni yang bersepadu berlandaskan persepsi pancaindera sesuai dengan realisme dan idealisme bertunjangkan kebenaran, kebaikan dan keindahan yang hakiki. Tetapi kalau kita sebagai sasterawan yang hanya seronok untuk berdaun, maka kita hanya berkembang untuk berkembang sahaja tanpa sebarang pembangunan. Perkembangan kesusasteraan kita hanya punah dengan sifat kebosanan dan stereotaip. Seharusnya, semasa kita membicarakan mengenai masa depan kesusasteraan kita, kita optimistic. Ertinya kita bukan sekadar rajin berdaun, berbunga dan berbuah, malah merasai nikmat seni buah dan nikmat rasa seni penyajian buah.

Lingkarannya tentang manusia dan kemanusiaan berputar pada gerakan fizikal, kepada tindak tanduk luaran, pada bunyi kata dan ungkapan semata-mata. Penyajiannnya asyik kembali kepada penghikayatan dan penglipurlaraan dengan di sana sini diberinya bumbu-bumbu baru yang tidak berperanan. Alurnya pula bukan sahaja tidak erat dan kompak malah penanjakan dan penurunannya penuh dengan kejutan. Paling majal ialah penyajian perutusan ala dakwah yang begitu ketara dan langsung. Selain itu, kelangsungan dan ketaraan perutusan disaji secara mentah dan sehingga tidak lagi dibaluti oleh kehalusan gaya bahasa yang sekali gus memadukan keindahan dan kemanfaatan dalam perutusan. Dalam kesusasteraan mutakhir kita, ternyata tidak terdapat banyak variasi selaras dengan variasi kompleksiti manusia. Paradigmanya tidak selari dengan pola perkembangan insan,

Kitsch”nya sebahagian besar karya sasterawan kita juga berpunca daripada keterlaluan mereka hendak berabstraksi sehingga morality, pemikiran, renungan tetap tinggal abstraksi tanpa diungkapkan secara kreatif demi penjernihan melalui kepelbagaian cirri penciptaan khususnya melalui perwatakan dan alur. Terdapat karya yang bersifat sinemaskopik yakni yang meluahkan banyak hal, sehingga segala-galanya Cuma tiba pada tahap pencecahan sambil lewa semata-mata.

Beralih pula dalam bab III. Bab ini dimulakan dengan perbandingan dari satu kutub yang lain, iaitu terdapat sasterawan kita yang begitu mudah mengorak langkah yang lain daripada yang lain sehingga mereka terbabas daripada landasan realisme dan idealisme serta kewarnaan setempat. Pencelahan aliran adalah sesuatu yang baik bagi mematangkan kesusasteraan kita. Kemabukan kita dengan bumbu yang disaji oleh tokoh ini memang dibolehkan, tetapi kita janganlah tergesa-gesa. Hanya melalui penyajian, aspek jungkir balik benar-benar dimanipulasikan termasuk arus kesedaran “shifting time sequences dan alternating points of view”.

Dalam bab IV, menerangkan mengenai apakah jawapan terhadap ke mana kesusasteraan kita? Jawapannya agak sukar kerana revolusi ini adalah revolusi sebatang kara. Tetapi aspek kejungkirbalikan yang emmaknakan modenisme, kepelikan dan keluarbiasaan ini sangat mudah memabukkan anak mudayang tidak ambil kisah dalam sesuatu yang serius. Sasterawan dunia luar yang juga pemikir meninggalkan sajian yang jungkir balik dan berusaha kembali kepada asal, sedangkan kita masih cuba menenggelamkan diri dalam kancah yang haruk-pikuk dan acak-acakan.

Menurut sasterawan negara, Shahnon Ahmad dalam bab V “Dari sini hendak ke mana?”, beliau menyatakan bahawa sejarah moden pada kala ini merupakan sebuah garapan sejarah tentang kesedaran manusia tentang diri, tradisi, masyarakat, dan juga ikatan murni yang berkaitrapat dengan keagamaan dengan peradaban. Jika dahulu, perjalanan sejarah sastera seni memperlihatkan hubungan yang kukuh dengan masyarakat yang bermaksud penciptaan hasil karya sastera seni mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. Namun, seiring dengan perubahan zaman hubungan tersebut semakin pudar dan kabur disebabkan oleh pengaruh modenisma yang dianggap sebagai fesyen menurut pendapat Shahnon Ahmad itu sendiri. Penulis atau pengkarya seni terperangkap dan terikut-ikut dengan arus kemodenan iaitu dengan mengamalkan konsep non-rasional dalam menghasilkan sesuatu karya sehinggalah mengabaikan hubungan dan kemesraan karya dengan masyarakat. Jumlah khalayak atau pembaca yang semakin kecil dan berkurang menyebabkan penulis atau pengkarya terpaksa mentafsir dan menganalisis hasil karyanya sendiri untuk memenuhi kefahahaman khalayak sama ada khalayak atau audiens dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh pengkarya tersebut atau sebaliknya. Hal ini sangat berkaitrapat dengan perkembangan aliran surealisme yang menekankan konsep kebebasan mutlak atau seni yang melampaui fikiran atau logik akal (non-rasional) yang juga turut dikenali sebagai seni berimaginasi. Karya yang mengikut aliran surealisme tersebut hanya boleh difahami oleh pengkarya yang menghasilkan karya itu sendiri sahaja dan amatlah sukar untuk khalayak atau audiens untuk memahami atau menafsirkan karya aliran tersebut. Shahnon Ahmad menganggap bahawa karya-karya tersebut telah mematikan faktor kemasyarakatan atau pembinaan tamadun dan telah menimbulkan soalan pada penghujung bab ini yang berbunyi, “...hendak kemanakah kesusasteraan kita?”.

            Seterusnya, dalam bab VI pula, Shahnon Ahmad telah menceritakan tentang karya kesusasteraan di Indonesia yang dianggap telah semakin jauh dengan masyarakat dek akibat terpengaruh dengan modenisma ataupun karya barat. Shahnon Ahmad juga telah mempersoalkan peranan sasterawan pada masa ini yang dianggap ibarat telah melupakan bumi yang dipijak. Dalam bab ini juga, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama penulis atau pengkarya daripada negara Indonesia tersebut mengenai soal karya modenisma tersebut.

             Selain itu, dalam bab VII, beliau iaitu Shahnon Ahmad telah menekankan konsep 3K (kebenaran, kebaikan dan keindahan). Menurut beliau, konsep 3K tersebut sangat sesuai diamalkan seiring dengan perubahan dalam penghasilan karya seni seiring zaman. Perubahan yang dilakukan dalam penghasilan karya seni bukanlah dianggap tidak baik, namun jika perubahan tersebut berlandaskan konsep 3K tersebut, maka perubahan yang berlaku adalah satu perubahan yang baik. Nilai estetika yang diperolehi melalui penekanan konsep 3K tersebut sangatlah bagus. Nilai estetika yang dimaksudkan di sini adalah keperihalan kesan seni berlandaskan persepsi hasrat pancaindera dan persepsi hasrat jiwa. Menurut pendapat beliau, seorang sasterawan yang cemerlang perlu mengambil kira nilai estetika dalam karya mereka dan bukan sahaja hanya mementingkan salah satu persepsi sahaja. Namun, karya kesusasteraan pada kala ini tidak menekankan perkara ini dan lebih menekankan kepada persepsi pancaindera berbanding persepsi hasrat jiwa yang mempunyai kesan mendalam kepada audiens atau khalayak. Shahnon Ahmad juga telah memetik kata-kata daripada Budi Darma yang berbunyi, “...bahawa sasterawan perlu menjadi pemikir dahulu sebelum mengarang, bukannya terus mengarang kemudian menjadi pemikir.” Budi Darma memaksudkan bahawa dalam menghasilkan karya yang berkualiti, sasterawan haruslah terlebih dahulu berfikir dengan lebih jauh dan secara matang iaitu dengan menekankan konsep 3K dan juga nilai estetika dalam karyanya. Beliau, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama sasterawan yang menekankan kesemua konsep karya yang berkualiti. Antaranya adalah Usman Awang, A. Samad Said, Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan lain-lain lagi. Secara kesimpulannya, beliau menyatakan hasratnya kepada pengkarya-pengkarya baru dan juga bakal pelapis sasterawan supaya dapat melonjakkan kesusasteraan ke tahap yang lebih cemerlang.

1 comment:

  1. boleh bagi penerangan yang lebih lanjut mengenai frasa sinemaskopik

    ReplyDelete