Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Dalam
entri ini mengisahkan mengenai karya dan sasterawan Melayu sejak dahulu
sehingga kini. Karya Shahnon Ahmad ini terbahagi kepada tujuh bab. Dalam bab
yang pertama, beliau telah memberi satu analogi mengenai di mana kesusasteraan
Melayu kita kini. Manakala dalam bab II, beliau memberi definisi mengenai masa
depan. Masa depan adalah detik yang cukup mencabar kerana keperihalan manusia
dan penyajian keperihalan manusia sebagai sebuah karya sastera semakin kompleks
dan kacau. Kemajuan ilmu natijah daripada daya fikir manusia dengan keghairahan
daya kreatif yang selaras dengan kompleksiti kesusasteraan memerlukan kita
melakukan perubahan untuk menyambung rasa seni yang bersepadu berlandaskan
persepsi pancaindera sesuai dengan realisme dan idealisme bertunjangkan
kebenaran, kebaikan dan keindahan yang hakiki. Tetapi kalau kita sebagai
sasterawan yang hanya seronok untuk berdaun, maka kita hanya berkembang untuk
berkembang sahaja tanpa sebarang pembangunan. Perkembangan kesusasteraan kita
hanya punah dengan sifat kebosanan dan stereotaip. Seharusnya, semasa kita
membicarakan mengenai masa depan kesusasteraan kita, kita optimistic. Ertinya
kita bukan sekadar rajin berdaun, berbunga dan berbuah, malah merasai nikmat
seni buah dan nikmat rasa seni penyajian buah.
Lingkarannya tentang manusia dan kemanusiaan
berputar pada gerakan fizikal, kepada tindak tanduk luaran, pada bunyi kata dan
ungkapan semata-mata. Penyajiannnya asyik kembali kepada penghikayatan dan
penglipurlaraan dengan di sana sini diberinya bumbu-bumbu baru yang tidak
berperanan. Alurnya pula bukan sahaja tidak erat dan kompak malah penanjakan
dan penurunannya penuh dengan kejutan. Paling majal ialah penyajian perutusan
ala dakwah yang begitu ketara dan langsung. Selain itu, kelangsungan dan
ketaraan perutusan disaji secara mentah dan sehingga tidak lagi dibaluti oleh
kehalusan gaya bahasa yang sekali gus memadukan keindahan dan kemanfaatan dalam
perutusan. Dalam kesusasteraan mutakhir kita, ternyata tidak terdapat banyak
variasi selaras dengan variasi kompleksiti manusia. Paradigmanya tidak selari
dengan pola perkembangan insan,
“Kitsch”nya
sebahagian besar karya sasterawan kita juga berpunca daripada keterlaluan
mereka hendak berabstraksi sehingga morality, pemikiran, renungan tetap tinggal
abstraksi tanpa diungkapkan secara kreatif demi penjernihan melalui
kepelbagaian cirri penciptaan khususnya melalui perwatakan dan alur. Terdapat
karya yang bersifat sinemaskopik yakni yang meluahkan banyak hal, sehingga
segala-galanya Cuma tiba pada tahap pencecahan sambil lewa semata-mata.
Beralih pula dalam bab III. Bab ini dimulakan dengan
perbandingan dari satu kutub yang lain, iaitu terdapat sasterawan kita yang begitu
mudah mengorak langkah yang lain daripada yang lain sehingga mereka terbabas
daripada landasan realisme dan idealisme serta kewarnaan setempat. Pencelahan
aliran adalah sesuatu yang baik bagi mematangkan kesusasteraan kita. Kemabukan
kita dengan bumbu yang disaji oleh tokoh ini memang dibolehkan, tetapi kita
janganlah tergesa-gesa. Hanya melalui penyajian, aspek jungkir balik
benar-benar dimanipulasikan termasuk arus kesedaran “shifting time sequences
dan alternating points of view”.
Dalam bab IV, menerangkan mengenai apakah jawapan
terhadap ke mana kesusasteraan kita? Jawapannya agak sukar kerana revolusi ini
adalah revolusi sebatang kara. Tetapi aspek kejungkirbalikan yang emmaknakan
modenisme, kepelikan dan keluarbiasaan ini sangat mudah memabukkan anak
mudayang tidak ambil kisah dalam sesuatu yang serius. Sasterawan dunia luar
yang juga pemikir meninggalkan sajian yang jungkir balik dan berusaha kembali
kepada asal, sedangkan kita masih cuba menenggelamkan diri dalam kancah yang
haruk-pikuk dan acak-acakan.
Menurut
sasterawan negara, Shahnon Ahmad dalam bab V “Dari sini hendak ke mana?”,
beliau menyatakan bahawa sejarah moden pada kala ini merupakan sebuah garapan
sejarah tentang kesedaran manusia tentang diri, tradisi, masyarakat, dan juga
ikatan murni yang berkaitrapat dengan keagamaan dengan peradaban. Jika dahulu,
perjalanan sejarah sastera seni memperlihatkan hubungan yang kukuh dengan
masyarakat yang bermaksud penciptaan hasil karya sastera seni mempunyai
hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. Namun, seiring dengan perubahan
zaman hubungan tersebut semakin pudar dan kabur disebabkan oleh pengaruh
modenisma yang dianggap sebagai fesyen menurut pendapat Shahnon Ahmad itu
sendiri. Penulis atau pengkarya seni terperangkap dan terikut-ikut dengan arus
kemodenan iaitu dengan mengamalkan konsep non-rasional dalam menghasilkan
sesuatu karya sehinggalah mengabaikan hubungan dan kemesraan karya dengan
masyarakat. Jumlah khalayak atau pembaca yang semakin kecil dan berkurang
menyebabkan penulis atau pengkarya terpaksa mentafsir dan menganalisis hasil
karyanya sendiri untuk memenuhi kefahahaman khalayak sama ada khalayak atau
audiens dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh pengkarya tersebut atau
sebaliknya. Hal ini sangat berkaitrapat dengan perkembangan aliran surealisme
yang menekankan konsep kebebasan mutlak atau seni yang melampaui fikiran atau
logik akal (non-rasional) yang juga turut dikenali sebagai seni berimaginasi.
Karya yang mengikut aliran surealisme tersebut hanya boleh difahami oleh
pengkarya yang menghasilkan karya itu sendiri sahaja dan amatlah sukar untuk
khalayak atau audiens untuk memahami atau menafsirkan karya aliran tersebut.
Shahnon Ahmad menganggap bahawa karya-karya tersebut telah mematikan faktor
kemasyarakatan atau pembinaan tamadun dan telah menimbulkan soalan pada
penghujung bab ini yang berbunyi, “...hendak kemanakah kesusasteraan kita?”.
Seterusnya, dalam bab VI pula,
Shahnon Ahmad telah menceritakan tentang karya kesusasteraan di Indonesia yang
dianggap telah semakin jauh dengan masyarakat dek akibat terpengaruh dengan
modenisma ataupun karya barat. Shahnon Ahmad juga telah mempersoalkan peranan
sasterawan pada masa ini yang dianggap ibarat telah melupakan bumi yang
dipijak. Dalam bab ini juga, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama penulis
atau pengkarya daripada negara Indonesia tersebut mengenai soal karya modenisma
tersebut.
Selain itu, dalam bab VII, beliau iaitu
Shahnon Ahmad telah menekankan konsep 3K (kebenaran, kebaikan dan keindahan).
Menurut beliau, konsep 3K tersebut sangat sesuai diamalkan seiring dengan
perubahan dalam penghasilan karya seni seiring zaman. Perubahan yang dilakukan
dalam penghasilan karya seni bukanlah dianggap tidak baik, namun jika perubahan
tersebut berlandaskan konsep 3K tersebut, maka perubahan yang berlaku adalah
satu perubahan yang baik. Nilai estetika yang diperolehi melalui penekanan
konsep 3K tersebut sangatlah bagus. Nilai estetika yang dimaksudkan di sini
adalah keperihalan kesan seni berlandaskan persepsi hasrat pancaindera dan
persepsi hasrat jiwa. Menurut pendapat beliau, seorang sasterawan yang
cemerlang perlu mengambil kira nilai estetika dalam karya mereka dan bukan
sahaja hanya mementingkan salah satu persepsi sahaja. Namun, karya
kesusasteraan pada kala ini tidak menekankan perkara ini dan lebih menekankan
kepada persepsi pancaindera berbanding persepsi hasrat jiwa yang mempunyai
kesan mendalam kepada audiens atau khalayak. Shahnon Ahmad juga telah memetik
kata-kata daripada Budi Darma yang berbunyi, “...bahawa sasterawan perlu
menjadi pemikir dahulu sebelum mengarang, bukannya terus mengarang kemudian
menjadi pemikir.” Budi Darma memaksudkan bahawa dalam menghasilkan karya yang
berkualiti, sasterawan haruslah terlebih dahulu berfikir dengan lebih jauh dan
secara matang iaitu dengan menekankan konsep 3K dan juga nilai estetika dalam
karyanya. Beliau, Shahnon Ahmad telah menyebut beberapa nama sasterawan yang
menekankan kesemua konsep karya yang berkualiti. Antaranya adalah Usman Awang,
A. Samad Said, Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan lain-lain lagi. Secara
kesimpulannya, beliau menyatakan hasratnya kepada pengkarya-pengkarya baru dan
juga bakal pelapis sasterawan supaya dapat melonjakkan kesusasteraan ke tahap
yang lebih cemerlang.